Lee Zii Jia kecewa pada pusingan pertama Kejohanan Terbuka Indonesia 2023 apabila tunduk kepada pemain India, Lakshya Sen dalam aksi yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.

Ia merupakan kali kedua berturut-turut pemain perseorangan utama negara itu tersingkir seawal pusingan pertama selepas beliau mengalami nasib yang sama pada minggu lalu ketika Terbuka Singapura.

Zii Jia bagaimanapun bermula dengan baik untuk mendahului dengan jurang tiga mata 16-13. Namun, Lakshya Sen tidak menyerah kalah dengan keadaan tersebut sehingga berjaya bangkit sekali gus memenangi set pertama dengan keputusan 21-17.

Awal set kedua memperlihatkan tumpuan Lee Zii Jia seolah-olah terganggu apabila memberikan mata-mata mudah untuk membolehkan Lakshya mendahului 12-3.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu kemudiannya cuba bangkit dengan empat mata berturut-turut dalam usaha memberikan tekanan.

Namun, lawan yang merupakan pemain ranking ke-20 dunia itu tidak menoleh ke belakang untuk mengesahkan kemenangan dengan mata 21-13.

Kejayaan itu merupakan kemenangan ketiga buat Lakshya Sen terhadap Lee Zii Jia yang telah bertemu sebanyak empat kali.

Menanti beliau di pusingan kedua esok ialah antara rakan senegaranya, Srikand Kidambi yang akan bertemu pemain China, Lu Guang Zu.

Sementara itu, sandaran negara selepas ini terletak di bahu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See.