Dua sandaran utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Lee Zii Jia meneruskan perjuangan dalam kejohanan badminton Terbuka India 2023 apabila melangkah ke pusingan 16 pada aksi yang berlangsung di Indira Gandhi Arena, New Delhi.

Baca Juga:

Pasangan nombor tiga dunia itu terlebih dahulu mengesahkan kemaraan selepas menundukkan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dengan kemenangan ‘straight set’ 23-21, 21-10.

Ia merupakan pertemuan pertama melibatkan pasangan ‘adik-abang’ itu di pentas badminton antarabangsa. Menanti Aaron-Wooi Yik di pusingan seterusnya esok ialah gandingan dari Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei dan Yang Po-Hsuan.

Sementara itu, Lee Zii Jia pula diheret ke perlawanan ‘rubber set’ untuk menundukkan Shesar Hiren Rhustavito dengan keputusan 20-22, 21-19, 21-12 dalam aksi yang berlanjutan lebih satu jam.

Kemenangan bermakna itu juga sekali gus berjaya menebus dua kekalahan berturut-turut yang dihadapi Zii Jia di tangan pemain dari Indonesia tersebut pada kejohanan Terbuka Malaysia dan Perancis 2022.

Pemain perseorangan ranking kedua itu akan bertemu pemenang antara Ng Tze Yong dan Li Shi Feng yang akan beraksi sebentar nanti.

Sementara itu, perjalanan dua lagi wakil negara yang beraksi pada sebelah pagi iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie serta Liew Daren terhenti selepas gandingan beregu campuran itu tunduk di tangan pasangan nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.

Manakala, Daren pula terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 9-11 pada set pertama ekoran kecederaan yang masih dihadapinya.