Pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia terpaksa menelan kepahitan apabila tewas seawal pusingan pertama Kejohanan Terbuka China 2023.
Baca Juga:
- Terbuka China 2023: Pearly-Thinaah, Kian Meng-Pei Jing Turut Ke Pusingan Kedua
- Terbuka China 2023: Tze Yong Kejutkan Prannoy Untuk Ke Pusingan Kedua
- Kejohanan Dunia 2023: Aaron Chia-Soh Wooi Yik Ke Separuh Akhir
Lawan yang dihadapi Zii Jia sebentar tadi di Gimnasium Xincheng, Changzou itu juga bukanlah calang-calang pemain iaitu naib juara Kejohanan Dunia 2023 iaitu Kodai Naraoka.
Seperti dijangka, satu permainan mendebarkan dan cukup menarik dapat disaksikan pada pertemuan ketiga melibatkan kedua-dua pemain dimana aksi berlanjutan ke ‘rubber set’.
Zii Jia yang kini menghuni tangga ke-14 ranking dunia gagal memanfaatkan peluang ketika mendahului 13-10 pada set pertama dan Kodai Naraoka. menghukum beliau dengan enam mata berturut-turut.
Bagaimanapun, Zii Jia tidak menyerah dengan mudah yang menyaksikan beliau mengejar kembali kedudukan hingga terikat 20-20 serta menyelamatkan lapan peluang Naraoka untuk memenangi set tersebut.
Namun, pemain ranking ketiga dunia itu tidak mensia-siakan peluang untuk menang set pertama 26-24.
Tersentak dengan kekalahan yang cukup dramatik itu, Zii Jia bangkit memperkemaskan aksinya pada set kedua dan jelas membuatkan Naraoka terpaksa mengikut rentak beliau.
Keadaan tersebut memberikan ruang seluas-luasnya buat Zii Jia untuk menang 21-12 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Kecemerlangan set kedua itu bagaimanapun gagal diteruskan Zii Jia dimana beliau ketinggalan 1-7 pada peringkat awal set ketiga.
Situasi tersebut jelas meningkatkan moral Naraoka yang tidak memandang ke belakang lagi untuk mudah mengesahkan kemenangan 21-11.
Ia merupakan kemenangan kedua yang dilakarkan oleh Kodai Naraoka ke atas Lee Zii Jia. Kali pertama beliau mencatatkan kemenangan adalah ketika Terbuka Malaysia 2023 pada Januari lalu.
Sementara itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melangkah ke pusingan kedua selepas berjaya menundukkan wakil India, Rohan Kapoor-Reddy Sikki 21-15, 21-16.
Manakala, Goh Jin Wei mengalami nasib sama seperti Zii Jia apabila tunduk kepada Aya Ohori dari Jepun 18-21, 12-21.