Lee Zii Jia menjadi wakil tunggal negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2023 selepas berjaya menundukkan rakan senegara, Ng Tze Yong pada aksi suku akhir yang berlangsung di Sydney, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Terbuka Australia 2023: Zii Jia, Tze Yong Bertemu Sesama Sendiri Di Suku Akhir
- Terbuka Australia 2023: Tiga Wakil Beregu Lelaki Negara Mara Ke Pusingan Kedua
- Terbuka Jepun 2023: Nasib Berbeza Lee Zii Jia, Ng Tze Yong
Berdepan ‘adik junior’ tersebut buat pertama kali dalam pertandingan antarabangsa kelolaan Persekutuan Badminton Dunia BWF), Zii Jia terpaksa berhempas-pulas untuk merakamkan kemenangan penting itu.
Ia jelas dibuktikan apabila pertemuan ini berlangsung selama satu jam 23 minit yang nyata membuatkan para peminat badminton negara berdebar meskipun ia melibatkan dua pemain Malaysia.
Aksi saling kejar-mengejar mata ditampilkan pada set pertama hingga menyaksikan kedua-dua pemain tersebut terikat pada kedudukan 15-15.
Namun, kesilapan mudah Zii Jia yang sering menghantui corak permainannya memberikan ruang buat Tze Yong untuk mengorak langkah bagi memenangi set pertama dengan mata 21-17.
Set kedua juga memperlihatkan corak permainan sama ditampilkan Zii Jia dan Tze Yong yang masing-masing enggan mengaku kalah tetapi pemain perseorangan utama negara itu lebih tangkas untuk menang 26-24 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.
Ternyata kualiti kedua-dua pemain pada ketika itu tidak memperlihatkan perbezaan ketara dimana Tze Yong pada satu ketika sudah berada di ambang kejayaan apabila mendahului 19-16.
Namun, Lee Zii Jia yang pastinya mahu menutup kritikan terhadapnya bangkit dengan penuh bernafsu untuk meraih kemenangan 21-19.
Menanti pemain ranking ke-17 dunia itu esok ialah wakil dari China, Weng Hong Yang setelah beliau menundukkan Chou Tien Chien dari Chinese Taipei.
Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal melangkah ke separuh akhir selepas tunduk kepada Lu Ching Yao-Yang Po Han menerusi permainan ‘straight set’ 15-21, 17-21.