Kelmarin, bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mencipta sejarah apabila menjadi pemain Malaysia yang pertama melakukan penampilan sulung bersama KV Kortrijk dalam aksi Jupiler Pro League menentang RSC Anderlecht.
Pemain yang berusia 18 tahun itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 ketika KV Kortrijk ketinggalan 0-3 dibelakang skuad kendalian Vincent Kompany.
Ternyata percaturan pengurus KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe membawa masuk Luqman membuahkan hasil lumayan apabila mereka berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ilombe Mboyo pada minit ke-87.
Meskipun tewas 1-3 kepada lawan, prestasi Luqman sepanjang 16 minit perlawanan cukup membanggakan rakyat Malaysia dan ia turut mendapat pujian daripada pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan.
“Saya sangat gembira apabila ketua jurulatih (Vanderhaeghe) akhirnya menyenaraikan Luqman dalam skuad utama dan masukkan sebagai pemain gantian.
“Walaupun Luqman tidak menjaringkan gol, tetapi ini adalah satu permulaan yang bagus dalam kariernya di Liga Belgium.
“Saya yakin Luqman akan menjaringkan gol apabila diberi lebih banyak peluang bermain dalam skuad utama,” katanya dipetik dalam New Straits Times.
Selepas diberi peluang beraksi dalam perlawanan tersebut, keyakinan Luqman kini semakin meningkat dan beliau tidak sabar tampilkan aksi lebih baik dalam perlawanan yang akan datang.
“Saya harap keputusan berpihak kepada kami tetapi beraksi selama 16 minit dalam liga telah meningkatkan keyakinan saya.
“Impian saya telah tercapai dan perlawanan ini adalah langkah pertama saya tetapi amanat Tan Sri antara salah satu faktor telah menaikkan motivasi saya kerana Tan Sri mengingatkan saya supaya sentiasa serius apabila membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Saya akui perlawanan bertambah sukar selepas kami ketinggalan 0-3 tetapi paling penting bagi saya adalah saya dapat merasai pengalaman buat pertama kali bermain di Jupiler Pro League ini,” katanya
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Selepas Muangthong United dan Bangkok United, Giliran Jurulatih Buriram United Pula Letak Jawatan
Produk Indonesia, Mills Sport Jadi Pengeluar Jersi Rasmi Tranmere Rovers
Netizen Thai: Liga Malaysia Tidak Mencabar Untuk Diogo, JDT Mampu Juara Lagi Dengan Pemain Sedia Ada