Ketua jurulatih Buriram United, Bozidar Bandovic secara rasmi telah mengumumkan perletakan jawatannya selepas kelab tersebut tewas 1-2 kepada Nakhon Ratchasima pada perlawanan Thai League 1 kelmarin.
Tidak sampai 48 jam, ini adalah jurulatih ketiga dari kelab berprofil tinggi yang telah meletakkan jawatan selepas Alexandre Gama (Muangthong United) dan Mano Polking (Bangkok United).
Kedua-dua jurulatih itu mengambil keputusan tersebut kerana bertanggungjawab diatas kekalahan pasukan masing-masing sehingga menjejaskan peluang merebut slot ke AFC Champion League 2021.
Bandovic menyertai Buriram pada tahun 2017 dan beliau pernah membawa pasukan itu menjuarai Thai League 1 sebanyak 2 kali serta dinobatkan sebagai jurulatih terbaik.
Beliau juga membawa Buriram United melepasi peringkat kumpulan serta mara ke peringkat 16 akhir dalam saingan AFC Champions League 2018. Ini adalah rekod terbaik yang diciptakan oleh kelab tersebut.
Jurulatih yang berasal dari Montenegro itu turut terkenal dengan kemampuannya mengilap pemain muda dan lebih gemar membawa masuk pemain baru dari akademi lalu menjadikannya sebagai seorang bintang.
Kekalahan kepada Nakhon Ratchasima turut menyaksikan Buriram United kini menghuni di tangga ke 10 Thai League 1 daripada 16 pasukan yang bertanding. Ianya sekaligus menjejaskan peluang mereka untuk merebut slot automatik ke AFC Champions League.
Dengan penularan wabak pandemik COVID-19 serta sekatan perjalanan, Buriram United kemungkinan berdepan kesukaran untuk membawa masuk jurulatih import dan mereka dijangka akan menggunakan khidmat jurulatih tempatan sebagai pengganti Bandovic.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Alexandre Gama Letak Jawatan Sebagai Ketua Jurulatih Muangthong United
AFC Jelaskan Sebab Qatar Dipilih Sebagai Tuan Rumah ACL Zon Timur