Pemain sayap skuad kebangsaan Jepun, Takefusa Kubo menyasarkan untuk berada dalam skuad kendalian Zinedine Zidane bagi saingan musim hadapan.

Kubo ketika ini menjalani tempoh pinjaman bersama Real Mallorca daripada Real Madrid selama satu musim dan pemain berusia 18 tahun itu mahu membuktikan beliau sudah bersedia untuk beraksi bersama Los Blancos.

Takefusa
Sumber Gambar: Bleacher Report

“Jelas Real Madrid berbeza dengan kelab yang lain. Mereka mempunyai barisan pemain berkualiti dan sukar untuk mendapatkan tempat di sana. Tetapi, saya akan bekerja keras untuk memperoleh peluang.

“Sasaran saya jelas. Saya mahu beraksi bersama Real Madrid. Semuanya bergantung kepada saya dan bersama Real Mallorca ketika ini, saya mahu membuktikan yang saya layak beraksi bersama mereka (Real Madrid),” kata Kubo.

Pada masa yang sama, Takefusa Kubo memberi gambaran mengenai hubungan beliau dengan pengendali pasukan, Zinedine Zidane ketika baru sahaja menyertai Real Madrid.

Takefusa
Sumber Gambar: From Managing Madrid

“Pada awalnya, saya sedikit gemuruh apabila dikelilingi oleh pemain terbaik dunia. Tetapi saya lega dapat menyesuaikan diri.

“Zidane melayan saya dengan baik. Dia merupakan seorang jurulatih yang sangat mementingkan ketelitian,” tambahnya.

Sama seperti saingan Liga Malaysia, La Liga ketika ini ditangguhkan buat sementara waktu ekoran penularan wabak Coronavirus (COVID-19).

Baca artikel lain mengenai saingan La Liga di sini:

Takefusa Kubo: Messi Masih Rujukan Saya Namun Barcelona Hanyalah Kisah Silam

Hazard Cuba Kurangkan Makan Roti Ketika Lockdown