Anwar El Ghazi sebelum ini diberikan peluang kedua oleh kelabnya, FSV Mainz selepas hantaran media sosial yang mengutuk serangan Israel ke atas Palestin.

Namun pemain itu tidak berganjak daripada pendiriannya malah mengecam kelabnya sebagai berbohong kepada orang ramai tentang situasi sebenar antara mereka.

Awal minggu ini, Mainz menarik balik penggantungan yang dikenakan ke atas El Ghazi. Dalam kenyataan kelab, Mainz menyatakan bahawa mereka telah bercakap dengan pemain itu semasa tempoh penggantungan dan bahawa El Ghazi telah menyatakan kekesalannya di atas perbuatannya.

Semalam dalam satu post di Twitter, El Ghazi tampil menafikan dia kesal dengan apa yang dia lakukan sebelum ini. Dan menganggap kelabnya tidak jujur dalam perkara itu.

El Ghazi menyatakan bahawa dia cuma mengeluarkan 1 kenyataan sahaja berkaitan isu Israel-Palestin. Dan selebihnya dia hanya berdiam diri. Jadi, apa yang diceritakan kelabnya tentang lanjutan peristiwa itu adalah pembohongan.

Dia juga secara tidak langsung mengecam apa yang dilakukan Israel ke atas Palestin.

El Ghazi berkata: “Bagi mengelak keraguan, kenyataan saya pada 27 Oktober 2023 adalah satu-satunya kenyataan saya dan terakhir, baik kepada Mainz mahupun orang ramai berhubung muat naik media sosial yang saya buat beberapa minggu lalu.”

“Kenyataan, komen dan permohonan maaf lain yang sebaliknya dikaitkan dengan saya adalah tidak betul dan tidak dibuat atau mendapat kebenaran daripada saya.”

Walaupun akhirnya dia memadamkan muat naik kontroversinya itu atas desakan kelab, namun Anwar El Ghazi langsung tidak menyesalinya. Hal ini kerana dia tetap yakin hantaran itu tiada salahnya, dia cuma bercakap tentang isu kemanusiaan di Gaza.

“Pendirian saya kekal sama seperti sebelum ini:

  • – Saya menentang perperangan dan keganasan
  • – Saya menentang pembunuhan orang awam tak berdosa
  • – Saya menentang semua bentuk diskriminasi
  • – Saya menentang Islamofobia
  • – Saya menentang anti semitisme
  • – Saya menentang genosid
  • – Saya menentang apartheid
  • – Saya menentang pendudukan
  • – Saya menentang penindasan”

“Saya tidak menyesal atau mengubah pendirian saya. Saya tidak melarikan diri daripada apa yang saya katakan dan percaya, hari ini dan selamanya sehingga nafas terakhir saya, demi kemanusiaan dan mereka yang ditindas.”

“Saya tidak mempunyai pilihan selain berdiri teguh untuk keadilan dan menjadi saksi kepada kebenaran. Saya akan melakukannya walaupun ia bertentangan dengan saya, ibu bapa saya, saudara-mara saya dan saudara-mara saya.”

“Tidak akan ada sebarang justifikasi untuk pembunuhan lebih 3,500 kanak-kanak di Gaza dalam masa 3 minggu. Bagaimana kita boleh berdiam diri sedangkan menurut Save The Children, 1 kanak-kanak dibunuh setiap 10 minit di Gaza?”

“Itu bermakna 9 kanak-kanak terbunuh semasa saya bermain satu perlawanan bola sepak, dan angka itu terus bertambah” katanya lagi.

El Ghazi kemudian menegaskan: “Saya, menyeru kita sebagai satu dunia, tidak boleh terus berdiam. Kita harus mendesak agar pembunuhan di Gaza dihentikan sekarang.”

Tindakan El Ghazi ini ternyata meletakkan kariernya di Mainz dalam risiko untuk ditamatkan kontrak. Namun dia pastinya sudah sedar akan perkara itu.

Menurut The Guardian, Mainz terkejut dengan kenyataan pemain itu dan kini sedang menyiasat perkara itu dengan mempertimbangkan tindakan perundangan.

Sebelum ini Youcef Attal antara pemain yang digantung kelabnya di Perancis kerana isu yang sama. Bayern pula menarik semula hukuman mereka ke atas Mazraoui selepas menyatakan pemain itu kesal dengan perbuatannya mengecam Israel secara terbuka.

Bayern turut mendedahkan niat pemain itu cumalah mahukan keamanan dicapai di Gaza.