Ramadan adalah bulan yang ke-9 di dalam kalendar Islam. Ia adalah bulan dimana penganut beragama Islam akan menjalani ibadah puasa iaitu menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.
Saingan Liga Malaysia tetap diteruskan pada bulan Ramadan manakala waktu sepak mula diubah daripada pukul 9.00 malam kepada 10.00 malam untuk memberi peluang kepada para pemain dan jurulatih buka puasa serta menunaikan solat fardhu.
Namun begitu, timbul persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan adakah kualiti permainan akan terjejas jika bermain dalam bulan puasa. Ia mempunyai kaitan dengan tahap kecergasan pemain dimana mereka tidak dapat menampilkan prestasi terbaik seperti biasa.
Ini kerana para pemain harus mengubah jadual pemakanan dan penerimaan tubuh badan termasuk waktu tidur selepas tamat perlawanan.
Apabila berpuasa sepanjang hari, sudah tentu pemulihan semula pemain lambat dan badan menjadi lesu, sekaligus menjadikan kualiti permainan juga mungkin menurun. Ia juga adalah satu cabaran kepada para jurulatih pasukan Liga Malaysia untuk memastikan pemain cukup cergas menghadapi hari perlawanan.
Bagaimanapun, penjaga gol Sarawak United, Sharbinee Allawee menjelaskan para pemain tempatan sudah biasa dengan situasi itu kerana mereka pernah bermain pada bulan Ramadan tahun lepas.
“Bermain di bulan Ramadan adalah satu situasi yang biasa bagi kami dan sebagai pemain, sudah tentu kami kena kawal cara pemakanan semasa berbuka dan sahur.
“Seperti di Sarawak, pasukan akan berlatih di sebelah malam iaitu selepas berbuka agar kami berada di tahap lebih baik selain menyesuaikan diri bermain pada jam 10 malam.
“Saya yakin pasukan mampu mengekalkan prestasi sama dalam lima perlawanan yang berlangsung di bulan Ramadan ini bagi memastikan kami kekal pendahulu sebelum liga berehat nanti,” katanya kepada MFL.
Kenyataan daripada beliau menunjukkan impak bulan puasa sangat mencabar kepada para pemain tempatan untuk mengekalkan prestasi pasukan. Namun ramai pemain profesional tetap berpuasa kerana ianya soal tuntutan agama.
Jurulatih kecergasan tempatan, Iskandar Salleh pula berpendapat jika setiap pasukan Liga Malaysia mengamalkan sistem latihan yang teratur, ia tidak akan menjejaskan prestasi pemain dalam bulan puasa.
“Sepatutnya tidak menjejaskan prestasi pemain. Ini kerana dengan sistem latihan yang teratur serta pemakanan yang sesuai, pemain mampu beraksi seperti biasa di sebelah petang mahu pun malam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, sesi latihan pasukannya lebih tertumpu pada aspek kecergasan pemain sepanjang Ramadan untuk memastikan mereka mampu mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.
“Latihan kali akan lebih menitik beratkan kepada stamina dan kecergasan pemain termasuk dengan situasi semasa melibatkan perlawanan-perlawanan yang akan kita harungi nanti,” katanya dalam Sinar Harian
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Nenad Bacina Kembali Bergabung Dengan Bojan Hodak Dalam Skuad Kuala Lumpur
Pusat Latihan PDRM FC Kini Dilengkapi Bilik Persalinan Pemain Dan Pejabat Pentadbiran
Kurniawan Gembira Sabah Curi Satu Mata Penting Bertemu Penang
Kerteh FC Berjaya Jual 350 ‘Joyah’ Dalam 5 Hari, Jana Pendapatan 4 Angka Dari Produk SME Tempatan