Penyerang import pasukan Kuala Lumpur, Sylvano Comvalius berdepan dengan risiko digugurkan apabila jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada Mei ini setelah beliau gagal untuk menampilkan prestasi cemerlang bersama pasukan.
Penyerang kelahiran Belanda ini tidak tersenarai dalam barisan pemain pada tiga perlawanan terakhir skuad Ibu Kota dan perkara ini menguatkan lagi khabar angin bahawa Sylvano bakal digantikan dengan pemain import yang lain.
Selain faktor prestasi yang tidak menentu, kembalinya Guilherme De Paula dalam kesebelasan utama setelah berehat panjang akibat kecederaan yang dialami lebih menyukarkan lagi peluang Sylvano untuk kembali beraksi bersama Kuala Lumpur.
49' | GOL DE PAULA
Guilherme de Paula berjaya menjaring gol pertama beliau dalam Liga Super untuk meletakkan @kualalumpurfa di hadapan menentang @official_kfa.#LigaSuper2019#KLKED#MFLLive pic.twitter.com/oLSBY01vZh
— MFL LIVE (@MFL_Live) April 6, 2019
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata pihaknya masih membincangkan mengenai situasi membabitkan Sylvano dan belum membuat sebarang kata putus.
“Memang ia merupakan salah satu daripada perancangan pasukan, namun KLFA belum memberikan sebarang kata putus terhadap status Comvalius.
“Perkara tersebut mula menjadi bualan apabila corak permainannya kurang bersesuaian dengan skuad Warga Kota malah perkara yang sama turut dirasai oleh pemain lain dalam pasukan.
“Apa pun kita akan melakukan perbincangan terlebih dahulu dan membuat penelitian sebelum memutuskan keputusan terhadap masa depan Comvalius,” katanya menurut laporan Kosmo.
Jika KLFA mengambil keputusan Sylvano, mereka harus mencari pemain yang boleh memberikan sokongan kepada Paulo Josue dan De Paula bagi memantapkan lagi jentera serangan pasukan. Barisan serangan yang tumpul menjadi masalah utama yang dihadapi oleh Kuala Lumpur musim ini.