Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam semalam mengesahkan pengadil utama serta dua pembantu pengadil dari Jepun telah dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA yang akan berlangsung pada 27 Julai ini.

Stuart berkata pemilihan pengadil dari Jepun itu juga selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani di antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA), April lalu, bagi mengukuhkan kerjasama antara lain dalam bidang teknikal dan pentadbiran.

Bagaimanapun, kemasukan pengadil dari luar negara untuk perlawanan akhir buat pertama kali dalam sejarah itu menimbulkan reaksi kurang senang bekas pengerusi jawatankuasa pengadil FAM iaitu Subkhiddin Salleh,  yang menyifatkan ia sebagai satu “penganiayaan” kepada pengadil tempatan.

“Mereka telah bertungkus-lumus daripada awal saingan dan bagi aksi final, ia bakal diadili pengadil dari luar negara. Saya berasakan ia merupakan sesuatu yang sangat malang kerana kita perlu yakin dengan pengadil negara.

“Susah senang, baik dan buruk pengadil negara, kita perlu bertanggungjawab dan menanggung setiap risiko,” katanya dalam Stadium Astro.

img_689bfbec64a4e4944fc78ee2a85fea72346736
Silver Badge Referee

Namun Stuart menegaskan keputusan untuk menggunakan khidmat pengadil dari luar itu sebagai percubaan dan ia tidak bermakna FAM memandang remeh soal pembangunan pengadil tempatan.

Menurutnya, usaha itu adalah untuk memenuhi hasrat peminat bola sepak tempatan yang ingin melihat tahap mutu pengadilan berkualiti dalam sesebuah perlawanan final berkeamatan tinggi.

“Saya berasakan ia merupakan salah satu langkah FAM untuk mencuba sesuatu yang baru. Terdapat pihak yang mungkin tidak akan bersetuju dengan inisiatif ini tetapi kami mahu mencuba dan melihat impaknya,” jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih kedah, Aidil Sharin Sahak dan pengendali Perak, Mehmet Durakovic memuji langkah FAM membawa masuk pengadil dari luar untuk meningkatkan mutu pengadilan.

“Saya berasakan ia adalah satu yang langkah yang bagus untuk mendapatkan khidmat pengadil dari Jepun. Semestinya, kami menjangkakan mutu pengadilan yang terbaik dan berharap negara-negara jiran akan dapat menimba pengalaman menerusi perlawanan ini,” kata Aidil.

“Saya gembira dengan keputusan FAM. Ini merupakan kali pertama saingan bola sepak Malaysia mendapatkan khidmat pengadil dari luar negara,” kata Durakovic dalam Stadium Astro.

Sumber