Steven Gerrard telah menjadi nama besar bola sepak terbaharu yang berpindah ke Liga Pro Saudi selepas dia dilantik sebagai pengurus baharu Al Ettifaq.

Baca Juga:

ESPN melaporkan bahawa pengurus berusia 43 tahun itu telah menyambung kembali perbincangan dengan kelab selepas pada mulanya menolak tawaran untuk menyertai mereka bulan lalu.

Bekas kapten Liverpool itu, yang dipecat oleh Aston Villa pada November 2022 selepas kurang daripada 12 bulan di Villa Park, kini akan mengendalikan kelab yang berpangkalan di Dammam itu.

Sumber memberitahu ESPN bahawa Gerrard sekali lagi terbuka untuk berpindah ke Arab Saudi selepas perbincangan lanjut dengan hierarki kelab.

“Tempat di mana legenda ditemui. Kami sangat teruja untuk mengumumkan Steven Gerrard adalah ketua jurulatih baharu kami,” tulis Al-Ettifaq di Twitter.

“Dia bukan orang asing dengan piala. Seorang Lagenda yang membawa sejarah gemilang dan masa depan yang menarik kepada Ettifaq,” tambah pasukan Saudi itu.

Presiden kelab Khalid Al-Dabal melahirkan rasa gembira selepas Gerrard menandatangani perjanjian dua tahun.

Al-Dabal menyifatkan perjanjian itu sebagai salah satu yang paling terkenal dan berpengaruh di peringkat Liga Pro Saudi.

Al Ettifaq tidak mempunyai pengurus tetap sejak jurulatih Perancis, Patrice Carteron meninggalkan jawatannya di kelab itu pada Februari.

Tetapi mereka telah mengenal pasti Gerrard sebagai pilihan kegemaran mereka untuk membina semula pasukan selepas menduduki tempat ketujuh dalam 16 pasukan beraksi dalam Liga Pro musim lalu.

Mereka 35 mata di belakang juara musim lalu, Al Ittihad, yang kemudian telah menambah penyerang Real Madrid Karim Benzema ke dalam skuad mereka.

Gerrard, yang membimbing Rangers merangkul kejuaraan Scotland pertama mereka dalam tempoh 10 tahun pada 2021, telah dikaitkan dengan kekosongan pengurus di Leicester City dan Leeds United.

Kedua-dua pasukan itu tersingkir dari Liga Perdana Inggeris musim lalu. Namun tiada kesepakatan dicapai.

Bekas kapten England, Steven Gerrard kini menyertai nama nama berprofil tinggi yang baru-baru ini berpindah ke Arab Saudi, termasuk Benzema, Cristiano Ronaldo dan N’Golo Kante.