Jodoh yang dibina sejak 11 November tahun lalu antara Aston Villa dan Steven Gerrard sudah sampai ke penghujung apabila pengurus tersebut dipecat daripada tugasannya sebentar tadi.

Baca Juga:

Perkembangan terkini itu disahkan menerusi kenyataan ringkas di laman sesawang rasmi kelab tersebut.

Keputusan sukar tersebut terpaksa diambil pengurusan tertinggi Aston Villa sebaik sahaja skuad kendalian Gerrard itu tewas 0-3 bertemu Fulham di Craven Cottage.

Ia merupakan kekalahan keenam dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini. Satu keadaan yang tidak dapat dielakkan lagi ekoran prestasi hambar dipamerkan barisan pemain The Villa selepas mengharungi 11 perlawanan.

Malah, Aston Villa hanya mampu meraih dua kemenangan dan tiga keputusan seri untuk mengumpul sembilan mata bagi menduduki tangga ke-17, sekadar memiliki berkelebihan defisit jaringan berbanding Wolves yang berada di zon penyingkiran.

“Kelab Bola Sepak Aston Villa mengesahkan bahawa Ketua Jurulatih, Steven Gerrard telah meninggalkan kelab berkuat kuasa serta-merta.”

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Steven diatas kerja keras dan komitmennya serta mendoakan kesejahteraannya untuk masa hadapan.”

Pemecatan Gerrard ini menjadikan beliau sebagai pengurus keempat dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23 yang kehilangan tugas selepas Scott Parker (Bournemouth) menjadi mangsa pertama dan kemudiannya diikuti, Thomas Tuchel (Chelsea) serta Bruno Lage (Wolves).

Menurut sumber media barat, Mauricio Pochettino dan pengurus Brentford, Thomas Frank menjadi calon utama yang disebut-sebut untuk menggantikan pengendali berusia 42 tahun itu.

 

Sumber