Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin mengesahkan Stadium Likas kini dilengkapi sistem teknologi Video Assistance Referee (VAR) untuk digunakan dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

Ia adalah sebahagian daripada proses penambahkan dan naik taraf stadium berkenaan bagi memenuhi piawai yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Saya dapati hampir 90 peratus telah siap iaitu mengikut kepada jadual yang telah ditetapkan.

“Saya yakin dan pasti peminat-peminat sukan Bolasepak Sabah FC akan lebih teruja selepas ini dengan adanya Scoreboard yang baru dan sistem teknologi Video Assistance Referee (VAR) yang bakal digunakan dalam perlawanan-perlawanan akan datang.

“Kerajaan Negeri Sabah, melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah akan sentiasa menyediakan prasarana dan perkhidmatan terbaik kepada pihak berkepentingan sukan bagi meningkatkan kredibiliti dan kualiti industri sukan di negeri ini,” kata Ellron menerusi laman facebooknya.

Sistem VAR itu dijangka akan digunakan buat kali pertama di Stadium Likas bermula dengan perlawanan Piala AFC 2023/24 melibatkan pasukan Sabah menentang kelab dari Singapura, Hougang United pada 21 September nanti.

Selain Hougang United, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu turut diundi bersama wakil Vietnam, Hai Phong dan kelab Indonesia, PSM Makassar dalam kumpulan H zon Asean.

Penggunaan sistem VAR sangat diperlukan bagi membantu pengadil membuat keputusan yang tepat selain meningkatkan mutu pengadilan dalam perlawanan itu.

40 pengadil Malaysia bersama 14 ‘replay operator’ kini menjalani latihan fasa kedua VAR sebagai langkah persiapan awal pelaksanaan VAR di Liga Malaysia.

Bagi latihan fasa kedua VAR kali ini, ia meliputi aspek penggunaan simulator VAR dengan menggunakan sebanyak 150 klip video bagi setiap pengadil. Setiap klip video yang digunakan telah diiktiraf oleh FIFA untuk digunakan bagi tujuan latihan.

Setiap proses latihan ini akan memberi penekanan kepada aspek penggunaan teknologi simulator VAR yang berkonsepkan ‘minimum interference, maximum benefits’ tanpa merencatkan kelancaran perlawanan.

Latihan VAR ini akan diteruskan dengan latihan fasa ketiga yang dijangka diadakan pada bulan November dan Disember 2023.