Hasrat Sri Pahang untuk mengutip 3 mata penuh di halaman sendiri tidak menjadi kenyataan apabila mereka terikat 1-1 dengan pasukan jiran, Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.
Dalam perlawanan ini, Pahang tampak lebih bersemangat untuk menampilkan aksi terbaik selepas menerima kehadiran semula penyokong di stadium namun TFC juga kerap memberikan ancaman berbahaya kepada benteng pertahanan tuan rumah.
TFC memperolehi peluang terbaik untuk menjaringkan gol pertama melalui Jordan Mintah namun percubaannya ditepis oleh penjaga gol Pahang, Zarif Irfan.
Pada minit ke 17, Stadium Darul Makmur bergegar dengan sorakan penyokong apabila pemain tengah skuad kebangsaan, Azam Azih melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti untuk gol pertama Sri Pahang.
Azam Azih sekali lagi beraksi cemerlang apabila melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk gol pertama @OfficialPahang
🎥 @unifi pic.twitter.com/TftntJVHVy
— VOCKET FC (@vocketfc) April 6, 2021
Tersentak dengan jaringan itu, TFC bangkit mengaturkan gerakan dan mereka tidak berputus asa untuk terus mengandakan asakan ke kubu tuan rumah. Barisan pertahanan Sri Pahang juga dipaksa bekerja keras menghalang kemaraan jentera serangan TFC.
Pada minit ke 39, TFC diberikan sepakan penalti selepas Faisal Rosli melakukan terjahan ke atas Faisal Halim di dalam kotak penalti. Bagaimanapun, Carli De Murga gagal menyempurnakan sepakan penalti dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Sri Pahang kembali garang dan mereka memperolehi peluang terbaik untuk menambah gol kedua pada minit ke 60 melalui situasi kelam kabut namun rembatan Baqiuddin tersasar.
Zarif Irfan turut beraksi cemerlang menepis beberapa percubaan berbahaya Jordan Mintah dan Makan Konate. Malah, beliau turut menyelamatkan sepakan penalti kedua oleh Jordan Mintah pada minit ke 70, namun dibatalkan pengadil kerana didakwa terlebih dahulu keluar dari garisan.
Sepakan penalti itu diberikan selepas bola rembatan Ariff Anwar terkena tangan Muslim Ahmad. Jordan Mintah akhirnya berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti yang diambil semula selepas pembatalan tersebut.
Keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan dan Sri Pahang berjaya keluar daripada kedudukan tercorot Liga Super manakala TFC berada di kedudukan keempat selepas mengutip 12 mata.