Presiden FIFA Gianni Infantino pada Selasa mempertahankan harga tiket Piala Dunia, menegaskan bahawa badan induk bola sepak global itu wajib mengambil kesempatan daripada undang-undang Amerika Syarikat yang membenarkan tiket dijual semula untuk ribuan dolar melebihi harga asal.

FIFA telah menerima kritikan hebat berhubung kos tiket Piala Dunia, dengan pertubuhan peminat Pertubuhan Penyokong Bola Sepak Eropah (FSE) menyifatkan struktur harga tersebut sebagai “melampau” dan “pengkhianatan besar”.

FSE memfailkan tuntutan undang-undang dengan Suruhanjaya Eropah pada Mac menyasarkan FIFA berhubung “harga tiket yang melampau” untuk kejohanan itu.

Laman web jualan semula Piala Dunia FIFA sendiri, FIFA Marketplace, minggu lalu menawarkan empat tiket untuk perlawanan akhir pada 19 Julai di New York dengan kos lebih AS$2 juta setiap satu.

Ketika berucap di Persidangan Global Institut Milken di Beverly Hills, Infantino berkata harga yang melambung tinggi itu mencerminkan permintaan untuk menonton Piala Dunia.

“Jika ada pihak meletakkan di pasaran jualan semula, beberapa tiket untuk perlawanan akhir pada harga $2 juta, pertama sekali ia tidak bermakna tiket itu berharga $2 juta,” kata Infantino.

“Dan nombor dua, ini tidak bermakna seseorang akan membeli tiket-tiket ini,” kata Infantino. “Dan jika seseorang membeli tiket untuk perlawanan akhir dengan harga USD2 juta, saya secara peribadi akan membawakannya hot dog dan Coke untuk memastikan dia mendapat pengalaman yang hebat.”

Kumpulan peminat telah membandingkan perbezaan harga tiket untuk musim panas ini dengan Piala Dunia Qatar pada tahun 2022.

Tiket paling mahal untuk perlawanan akhir pada tahun 2022 adalah sekitar $1,600 pada harga nilai muka, manakala pada tahun 2026, tiket paling mahal untuk perlawanan akhir adalah kira-kira $11,000 pada harga asalnya.

Infantino bertegas bahawa kenaikan mendadak harga muka adalah wajar.

“Kita perlu melihat pasaran — kita berada dalam pasaran di mana hiburan paling maju di dunia. Jadi, kita perlu menggunakan kadar pasaran,” kata Infantino.

“Di AS, penjualan semula tiket juga dibenarkan. Jadi, jika anda menjual tiket pada harga yang terlalu rendah, tiket-tiket ini akan dijual semula pada harga yang jauh lebih tinggi.

“Malah, meskipun segelintir pihak mendakwa harga tiket kami tinggi, tiket-tiket tersebut akhirnya dijual semula di pasaran pada harga yang lebih tinggi, malah melebihi dua kali ganda harga asal kami.”

Infantino berkata bahawa FIFA menerima lebih daripada 500 juta permintaan tiket untuk 2026, berbanding dengan gabungan kurang daripada 50 juta bagi Piala Dunia 2018 dan 2022.

Pemimpin FIFA menambah bahawa 25 peratus daripada tiket untuk fasa kumpulan berharga di bawah $300.

“Anda tidak boleh pergi menonton perlawanan kolej di AS, apatah lagi perlawanan profesional peringkat tinggi tertentu, dengan harga kurang daripada $300,” kata Infantino. “Dan ini adalah Piala Dunia.”