Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mahu menyenaraikan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric dalam kalendar FIFA sekaligus menjadi kejohanan rasmi badan bola sepak dunia itu.

Baca Juga:

Infantino berkata demikian setelah hadir menyaksikan perlawanan akhir kedua antara Thailand menentang Vietnam di Stadium Thammasat yang mana tuan rumah muncul juara sekaligus meraih kejuaraan ketujuh dalam sejarah Piala AFF.

Tidak hanya itu, Infantino turut menyampaikan trofi kemenangan kepada Thailand yang disambut oleh ketua pasukan, Theerathon Bunmathan.

Selain itu, beliau kagum dengan atmosfera bola sepak Asia Tenggara dan perkara itu yang membuatkannya mahu meletakkan Piala AFF dalam kalendar FIFA.

“Piala AFF harus ditingkatkan dan menjadi sebahagian daripada pertandingan dibawah FIFA. Kita harus memastikan kejohanan ini semakin berkembang pada masa akan datang.

“Jika kita bekerjasama, saya yakin Piala AFF akan menjadi sebahagian daripada organisasi besar bola sepak dunia. Kejohanan ini amat penting bagi warga Asean. Dengan populasi lebih dari 650 juta orang, masyaratak di rantau ini cukup meminati bola sepak,” kata Gianni Infantino.

Pasukan bertanding sentiasa berdepan masalah terutamanya dari segi pemain ekoran Piala AFF tidak berada dalam kalendar rasmi FIFA dan kelab tidak wajib untuk melepaskan pemain mereka apabila dipanggil.

Antara pasukan yang terkesan ialah Malaysia dimana ketua jurulatih, Kim Pan-gon tidak dapat menggunakan beberapa pemain utama seperti Arif Aiman, Shahrul Saad dan Syafiq Ahmad.

Selain itu, Indonesia tidak dapat menggunakan khidmat Sandy Walsh dan Elkan Baggott ekoran tidak mendapat pelepasan dari Gillingham FC.