Salah sebuah media bebas Singapura memerli Malaysia selepas pemain naturalisasi negara, Sergio Aguero menjaringkan gol dalam perlawanan saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 baru-baru ini.

Baca Juga:

Aguero menjaringkan gol ketika Malaysia menewaskan Laos dengan keputusan 5-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil baru-baru ini yang mana jaringan tersebut merupakan gol pertama Aguero bersama skuad kebangsaan.

Aguero menolak masuk bola hasil hantaran lintang oleh pemain sayap, Mohd Nor Hakim Hassan pada minit ke-29. Empat lagi gol pasukan negara dijaringkan oleh Stuart Wilkin, Haqimi Azim dan Faisal Halim.

Salah sebuah media bebas negara jiran, Failing At Soccer atau FAS kemudiannya berkongsi gambar pemain kelahiran Argentina itu dan meletakkan caption “100% Malaysian”.

Kedua-dua negara sememangnya menjadi musuh tradisi di pentas Asean dan ejekan mengenai 100% Malaysian ini berpunca daripada tindakan peminat Malaysia yang membuat perkara sama terhadap Singapura beberapa tahun lalu.

Ketika itu, negara di seberang tambak diwakili oleh beberapa pemain naturalisasi seperti Alexandre Duric, Daniel Bennet dan Qiu Li dan pernah menewaskan skuad Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia.

Malaysia akan bertemu Singapura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan B pada 3 Januari 2023 dan pemenang berkemungkinan besar bakal layak ke peringkat separuh akhir.

Singapura setakat ini mengutip tiga mata selepas menewaskan Myanmar pada perlawanan pertama manakala Malaysia mengutip enam mata selepas menewaskan Myanmar dan Laos.