Manchester United dilaporkan mengesan kecederaan semasa pemeriksaan medikal Sofyan Amrabat.

Bintang Piala Dunia 2022 dari Maghribi itu merupakan sasaran utama Ten Hag.

Dan selepas menghabiskan sebahagian besar jendela perpindahan musim panas mengejar Amrabat, Setan Merah akhirnya berjaya mendapatkan Amrabat pada hari terakhir jendela perpindahan.

United setuju dengan perpindahan secara pinjaman dengan nilai sekitar £8.6 juta – yang ada klausa beli tetap sekitar £17 juta lagi serta ada prospek bonus £5 juta.

Amrabat hanya menyaksikan pasukannya beraksi menentang Arsenal sebelum ini. Dan kini dia sedia untuk menjadi penonton lagi kerana ada kecederaan yang dibawanya dari Fiorentina.

Menurut The Athletic, kelab itu mengesan kecederaan ringan di bahagian belakang semasa pemeriksaan perubatan.

Memandangkan masalah itu tidak dianggap serius, United memutuskan untuk meneruskan proses akhir menandatangani pemain itu.

Ini bukan pertama kali United mengesan pemain yang mereka tandatangani ada kecederaan dibawa dari kelab lama. Sebelum ini, Rasmus Hojlund juga dikesan ada kecederaan dan membuatkan pemain itu terpaksa menangguhkan debutnya dalam beberapa perlawanan awal United.

Selepas kekalahan dramatik 3-1 kepada Arsenal hari Ahad, pengurus Man United, Erik ten Hag menjelaskan mengapa dia memutuskan untuk membawa Amrabat ke kelab itu.

Dia berkata semasa sidang akhbar selepas perlawana: “Sudah, dari awal musim, salah satu hasrat saya untuk mendapatkan [nombor] enam [posisi DM], pemain tengah bertahan, dalam skuad kerana sepanjang musim anda memerlukan kedalaman skuad untuk posisi itu.”

“Dalam kedudukan itu kami hanya mempunyai Casemiro yang boleh bermain dengan sangat baik di posisi tersebut. Dengan orang lain kita perlu membuat kompromi tetapi, dengan Sofryan Amrabat, kita mempunyai satu lagi pemain nombor enam.”

Ten Hag menambah: “Amrabat juga boleh bermain bersama Casemiro kerana dia juga boleh bermain sedikit lebih tinggi di atas padang. Jadi sangat bagus untuk memilikinya dan saya rasa dia sangat sesuai dengan bola sepak Liga Perdana Inggeris, bola sepak Liga Juara-Juara Eropah. Saya rasa tuntutan itu kuat ke atas kualiti skuad kami.”

“Dia sangat dinamik, dia sangat bagus dalam duel. Jadi kami gembira kerana memilikinya di United dan saya fikir dia akan menyumbang kepada sasaran tinggi kami yang kami tetapkan.”

Apabila menyertai kelab itu, Amrabat berkata: “Ia adalah satu penghormatan besar untuk menjadi pemain Manchester United. Saya terpaksa bersabar buat masa ini tetapi saya seorang yang sentiasa mendengar kata hati saya dan kini saya mewakili kelab impian saya sejak kecil.”

“Saya seorang pemain yang bersemangat; Saya mahu membawa tenaga itu kepada skuad, dan saya akan meletakkan segala-galanya dalam setiap tindakan yang saya lakukan untuk pasukan.”