Ketika ini, skuad Indonesia bawah 19 tahun (B-19) mengadakan kem latihan pusat di Eropah sehingga akhir bulan September sebagai persiapan menghadapi Kejohanan AFC B-19 dan Piala Dunia B-20 tahun depan.
Mereka bukan sahaja menjalani latihan tetapi turut menyertai kejohanan jemputan antarabangsa anjuran Federasi Bola Sepak Croatia (HSN) bersama 3 pasukan lain iaitu tuan rumah (Croatia), Bulgaria dan Arab Saudi.
Bagaimanapun, pasukan kendalian Shin Tae-yong menjadi mangsa belasahan semalam apabila kalah 1-7 kepada Croatia di Stadium SRC Mladost. Di separuh masa pertama, Indonesia mula ketinggalan 0-3 tetapi sempat mempamerkan kebangkitan di separuh masa kedua melalui jaringan pertama oleh Bagas Kaffa.
Namun begitu, Croatia jelas berada di kelas berbeza apabila menambah 4 lagi gol melalui Antonio Marin (44’dan 73′), Bruno Zdunic (66′) dan Ivan Brnic.
Ini merupakan kekalahan kedua Indonesia dalam kejohanan tersebut selepas mereka tewas 0-3 kepada Bulgaria.
Shin Tae-yong dalam satu kenyataan mengakui sangat kecewa dengan keputusan perlawanan namun berpendapatan skuad Indonesia semakin menunjukkan peningkatan berbanding ketika lawan Bulgaria.
“Ada beberapa persembahan dalam perlawanan tadi menunjukkan pemain beraksi cukup baik berbanding lawan sebelumnya (Bulgaria). Namun, secara keseluruhan ini mengecewakan kerana kami kalah teruk,” katanya dalam laman web rasmi PSSI.
“Kami harus segera perbaiki kekurangan yang ada. Yang jelas pasukan masih dalam proses untuk menyesuaikan diri kerana menjalani sesi latihan yang berintensiti tinggi,” tambahnya.
Selepas ini, mereka akan menentang pasukan gergasi Asia, Arab Saudi pada 11 September.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan bawah 19 tahun melalui pautan dibawah.
Mekanisme Undian Kejohanan AFC U19 Championship Yang Perlu Kita Tahu Dan Fahami.