Walaupun saingan AFC B-19 telah ditangguhkan pada tahun depan, namun skuad Indonesia B-19 melakukan persiapan awal bagi memastikan mereka mendapat keputusan yang positif sebelum hadapi Piala Dunia B-20.
Sejak dibawah kendalian jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae-yong, banyak perubahan telah dilakukan termasuk pertukaran gaya pemakanan setiap pemain untuk membentuk fizikal yang lebih mantap.
Ketika ini, mereka mengadakan kem latihan pusat di Eropah sehingga akhir bulan September. Sepanjang berada di sana, setiap makanan yang diambil oleh pemain akan dipantau oleh barisan jurulatih termasuk waktu tidur.
“Diet pemakanan harus dijaga agar pemain terus berada dalam keadaan cergas dan fit. Dengan menu latihan yang bervariasi, pemain harus tahu apa yang boleh dimakan dengan pengawasan kami, seperti bilangan karbohidrat, protein, sayuran dan lain-lain.
“Untuk makanan, menu wajib ialah sayur, daging, ikan, salad, buah, susu, serta roti. Semua saya akan semak termasuk ketika pemain mengambil makanan mereka,” kata jurulatih fizikal, Lee Jae-hong.
Lee-Jae Hong turut melarang semua pemain Indonesia mengambil makanan yang bergoreng dan pedas kerana ia tidak bagus untuk atlet sukan bola sepak. Mereka perlu banyak pengambilan buah-buahan dan minum air kosong.
“Kami tidak membenarkan menu makanan yang bergoreng dan pedas. Pemain harus banyak minum air kosong dan makan buah. Selain itu, berat setiap pemain akan disemak setiap hari termasuk otot, lemak dan lain-lain,” tambahnya.
Beberapa hari lalu, skuad Garuda Muda menunjukkan peningkatan yang ketara apabila terikat 3-3 dengan Arab Saudi dalam satu perlawanan kejohanan jemputan. Mereka kemudian mengejutkan Qatar, 2-1 dan seri 1-1 dalam perlawanan persahabatan kelmarin.
Walaupun mencatat keputusan yang positif, namun Shin Tae-yong masih belum berpuas hati dengan tahap fizikal pemain pasukan itu dan beliau merancang untuk menjadikan mereka lebih berotot.
“Masalah masih dapat dilihat dengan kekuatan pemain. Kekuatan pemain sangat kurang. Namun, stamina sekarang semakin baik, ”kata Shin Tae-yong di YouTube PSSI.
“Kerana kekurangan kekuatan pemain, kami akan mengadakan program pengukuhan pemain. Jadi apabila kita berhadapan dengan lawan yang tinggi dan lebih berotot, kita dapat bersaing dengan baik, ”tambahnya.
Sebelum ini, mereka menjadi mangsa belasahan kepada lawan yang mempunyai fizikal yang lebih tinggi iaitu menentang Bulgaria (0-3) dan Croatia (1-7).
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Mohammed Ghaddar Kembali Ke Lebanon, Pulang Ke Pangkuan Nejmeh SC Selepas 11 Tahun Berkelana