Sistem Pengadil Profesional Malaysia (MProRS) yang pertama di negara telah dilancarkan semalam oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan misi menjadikan pengadil tempatan sebagai penanda aras pengadilan di peringkat Asia.
Seramai enam orang pengadil kebangsaan disenarai pendek untuk menjadi perintis kepada projek berkenaan iaitu Muhammad Nazmi Nasaruddin, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Zulkarnain Zakaria, Muhammad Faizuddin Ismail, Razlan Joffri Ali dan Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman.
Keenam-enam calon itu akan dinilai prestasi mereka dalam saingan Liga Malaysia bermula Februari lalu sehingga Julai ini sebelum dua terbaik akan ditawarkan kontrak untuk bergelar pengadil profesional pertama Malaysia.
Dua pengadil tersebut akan menikmati imbuhan lumayan kira-kira hampir RM500,000 setahun termasuk kos pengurusan dan pentadbiran.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, projek itu adalah langkah terbaharu dalam usaha untuk memartabatkan profesion pengadilan ke tahap lebih tinggi.
“Ini (MProRS) satu lagi usaha kami selepas memperkenalkan projek naturalisasi bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya sebelum ini. Sudah tiba masanya pengadil diberi pengiktirafan dengan jadikan ia sebagai kerjaya profesional di negara ini.
“Bagaimanapun, bagi mencapai sasaran, MProRS perlu menerapkan budaya pengadilan yang benar-benar profesional dan konsisten pada setiap perlawanan selain penggunaan teknologi dalam meningkatkan lagi prestasi pengadil.
“Mereka yang terpilih menyertai MProRS ini sudah tentu akan diberikan bimbingan secara lebih terperinci, dilatih dengan profesional dan dinilai prestasi mereka supaya status pengadil profesional itu sama gah dengan namanya,” katanya dalam Arena Metro.
Misi hantar pengadil Malaysia ke Piala Dunia 2026
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid, badan induk itu turut menyasarkan untuk menghantar tiga pengadil tempatan mengendalikan kejohanan berprestij, Piala Dunia 2026.
“Kita ketandusan pengadil untuk terlibat dalam Piala Dunia termasuk di Qatar pada 2022 dan kali terakhir adalah Subkhiddin Mohd Salleh pada edisi 2010 (Afrika Selatan). Hasrat FAM adalah untuk pastikan pengadil tempatan berjaya sehingga ke peringkat tertinggi.
“Jadi memang misi kita untuk melihat tiga pengadil tempatan beraksi pada Piala Dunia 2026 dan dengan adanya MProRS dan beberapa program lain diharap dapat membantu misi tersebut,” katanya kepada pemberita.
Lagi artikel menarik mengenai pengadil yang mungkin anda terlepas pandang.
2 Pengadil Elit AFC Dari Malaysia Terpilih Mengendalikan Perlawanan Liga Vietnam
4 Pengadil Jepun Akan Mengendalikan Perlawanan Malaysia Bertemu UAE
Pengadil Kontroversi Final Piala Malaysia 2018 Digantung Tugas