Masihkah anda ingat seorang pengadil tempatan yang menimbulkan kontroversi ketika mengadili perlawanan akhir Piala Malaysi di antara Perak menentang Terengganu FC pada musim lepas?
Nama Suresh Jayaraman kembali menjadi buah mulut para peminat liga malaysia apabila mutu pengadilannya dikecam hebat ketika aksi Liga Premier melibatkan pasukan PDRM FA menentang Pulau Pinang, sabtu lalu.
Perlawanan itu dicemari oleh insiden pergaduhan di penghujung perlawanan dan ia didakwa berlaku gara-gara mutu pengadilan yang lemah daripada individu tersebut.
Justeru itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid mengambil tindakan tegas dengan menggantung khidmat Suresh daripada mengadili mana-mana perlawanan pada musim ini.
“Terdapat beberapa keputusan yang menyebabkan perlawanan menjadi tegang sehingga menimbulkan kekecohan di penghujung aksi. Buat sementara waktu, kami ada kursus untuk pengadil yang terlibat dalam Piala Malaysia dan kami tidak senaraikan nama Suresh. Jadi, dia tidak akan terlibat dalam kempen kali ini,” jelas Dali dalam Astro Awani.
Pada tahun lepas, bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd. Salleh mempertahankan tindakannya memilih Suresh Jayaraman sebagai pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia.
Menurut Subkhiddin, pengadil tersebut sangat layak dan bukan dipilih semberono ataupun tangkap muat. Beliau memberitahu yang Suresh menepati kriteria yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengadil FAM.
Mengulas mengenai identiti pengadil dari Jepun yang dipilih untuk mengadili final Piala FA di antara Perak dan Kedah di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada hari Sabtu ini, Dali berkata nama mereka akan didedahkan sebaik sahaja tiba di Malaysia pada hari ini.
“Insya-Allah, pengadil itu akan sampai lusa (rabu). Kami akan berjumpa dengannya dan dia akan sampaikan taklimat kepada pengadil serta pegawai perlawanan yang terlibat dalam aksi final itu.” katanya.