Para peminat bola sepak tempatan kemungkinan akan menyaksikan kemunculan semula skuad Singa Utara dalam Liga Malaysia pada musim depan apabila pasukan tersebut dikhabarkan bakal beraksi di Liga M3 (divisyen 3).

Menurut laporan daripada New Straits Times, difahamkan pasukan Perlis United yang beraksi dalam saingan Liga M3 musim ini telah menjadi milik Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

Perlis United yang sebelum ini dikenali sebagai Tambung Tulang FC telah mendapat lampu hijau daripada Malaysia Football League (MFL) beraksi dalam Liga M3.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menilai semula dokumen pendaftaran pasukan itu kerana PFA kini sedang menjalani hukuman penggantungan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) selama dua tahun kerana isu tunggakan gaji.

“PFA sedang menjalani hukuman penggantungan dua tahun dan mereka tidak boleh menyertai sebarang aktiviti bola sepak. Ia tidak jelas bagaimana Perlis United diberi kebenaran untuk beraksi dalam Liga M3.

“Bagaimanapun, kami akan meniliti banyak perkara sebelum musim baharu bermula. Kita akan tapis semuanya,” kata Pengerusi ‘Special Task Force’ FAM, Firdaus Mohamed dalam NST.

Pemegang Taruh
Sumber Gambar: Sukan Sinar

Firdaus sebelum ini mengesahkan Perlis FA adalah antara 6 pasukan yang sudah melengkapkan proses penswastaan kelab serta pemisahan FA ke FC.

Pasukan yang lain ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak FA, PJ City, ATM FA dan Negeri Sembilan FA.

Menurut FAM, semua pasukan wajib menukar status kepada FC sebelum 30 September supaya tidak berdepan masalah untuk menyertai Liga Malaysia musim depan dan pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelak.

“Ada dua perkara di sini, satu ialah perlesenan kelab dan kedua ialah pemisahan FA ke FC. Kelab yang gagal dapat lesen tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim depan walaupun sudah ditukar kepada FC,” jelas Firdaus.

“Tempoh masa yang tinggal masih ada kira-kira dua bulan dan FAM sangat berharap pihak pengurusan persatuan dan kelab yang terbabit dapat mengambil serius hal ini kerana mereka bakal berdepan untuk diturunkan ke liga amatur iaitu Liga M3, musim depan,” tambahnya.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Mario Gomez Tinggalkan Arema FC, Kemungkinan Kembali Semula Ke Liga Malaysia

Warganet Indonesia Mahu Indra Sjafri Ganti Maurizio Sarri Sebagai Pengurus Juventus

FA Thailand Berdepan Masalah ‘Cash Flow’ Kritikal, Perlu Meminjam Duit Untuk ‘Survival’