Penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim mengakui tempoh empat bulan persediaan tanpa aksi kompetitif sangat mencabar sambil berharap kemenangan dapat diraih dalam perlawanan pertama menentang PJ City FC Rabu depan.
Situasi yang dihadapi Terengganu FC apabila berdepan penundaan perlawanan ekoran penularan COVID-19 memberi sedikit kesan kepada persiapan pasukan namun itu tidak menghalang mereka untuk meneruskan momentum menerusi beberapa aksi persahabatan.
Tetapi, untuk dirinya yang telah satu tahun diketepikan susulan kecederaan ACL ditambah pula dengan penundaan perlawanan pada musim ini pastinya lebih sukar untuk Rahadiazli mendapatkan tahap kecergasan yang lebih konsisten.
“Kalau ditambah dengan penundaan perlawanan ketika ini, lebih kurang setahun saya tidak bermain dalam liga disebabkan ACL pada tahun lepas.
“Memang momentum tu susah nak dapat dan pra musim selama empat bulan ni memang susah tetapi sekarang saya kena rebut peluang juga untuk beraksi sebab dah lama sangat tunggu.
“Sepatutnya apabila dipanggil ke skuad kebangsaan, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu saya tetapi selepas saya positif COVID-19, saya anggap tiada rezeki saya di situ.
“Mungkin saya sendiri juga belum cergas sepenuhnya dan sekarang kena fokus betul-betul untuk mempersiapkan diri,” jelasnya kepada MFL.
Menjelang perlawanan pertama Terengganu FC menentang PJ City FC pada Rabu depan, Rahadiazli menjangkakan pertembungan yang sukar akan dihadapi dan pasukan tidak boleh tercicir mata.
Penjaga gol @FCTerengganu, Rahadiazli Rahalim mengakui tempoh empat bulan persediaan tanpa aksi kompetitif sangat mencabar sambil berharap kemenangan dapat diraih dalam perlawanan pertama menentang PJ City FC Rabu depan.#LigaSuper2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 31, 2022
Ini kerana tiga perlawanan awal membabitkan pasukan ini adalah di tempat lawan dan pemain perlu bekerja lebih keras bagi memastikan kemenangan berterusan.
“Perlawanan pertama menentang PJ City adalah di tempat lawan, begitu juga dengan dua lagi perlawanan akan datang, jadi ia bukan perkara mudah untuk kami.
“Tetapi itu tidak akan menjadi alasan untuk pasukan tidak membawa pulang mata ke Terengganu dan kami akan cuba sedaya upaya menang dalam perlawanan nanti,” tambahnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam
Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium