Malang bertimpa buat pertahanan berpengalaman, Sergio Ramos apabila namanya tiada dalam senarai barisan pemain Sepanyol bagi mengharungi kempen Euro 2020 yang dijadualkan bermula pada 11 Jun nanti.

Ia boleh diibaratkan kekecewaan berganda buat pemain berusia 35 tahun itu setelah Real Madrid gagal mengekalkan kejuaraan La Liga setelah Atletico Madrid muncul juara pada penentuan hari terakhir, tempoh hari.

Lebih perit untuk ditelan, tiada seorang pun pemain dari Real Madrid yang disenaraikan oleh pengendali pasukan, Luis Enrique pada kali ini dan nyata ia amat memeranjatkan.

“Ramos tidak mampu untuk bersaing pada musim ini, dia tidak dapat berlatih dalam kumpulan. Saya telah menghubunginya semalam, ia merupakan satu keputusan yang sukar dan susah.”

“Saya melihatnya sebagai satu keputusan yang cukup rumit. Saya menyarankannya supaya menjadi seorang yang ego dan dia dapat kembali kepada tahapnya bersama kelab dan skuad kebangsaan,” ujar Enrique menurut laporan Goal.

Kekosongan ditinggalkan Sergio Ramos itu akan diisi pertahanan Manchester City yang baharu sahaja diberikan kebenaran untuk menyarung jersi Sepanyol, Aymeric Laporte.

Selain itu rakan sepasukannya, Eric Garcia, Rodri dan Ferran Torres turut tersenarai di samping kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta.

Sepanyol yang merupakan juara tiga kali kejohanan bakal berada dalam kumpulan E untuk bersama-sama Sweden, Poland dan Slovakia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan Sepanyol:

Tak Dihiraukan Perancis, Aymeric Laporte Bakal Sarung Jersi Sepanyol

UNL: Sepanyol Bantai Jerman 6-0, Ferran Torres Hatrik

Ramos ‘Miss’ Dua Penalti Membuatkan Sepanyol Terlepas 3 Mata

Sumber