Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Leonardo mengakui bahawa beliau telah melakukan kesilapan dalam membawa masuk pertahanan tengah, Sergio Ramos ke dalam skuad tersebut pada musim panas lalu.

Menyertai PSG secara percuma selepas kontraknya bersama Real Madrid berakhir, Ramos telah memeterai perjanjian selama dua musim untuk berbakti di Parc des Princess.

Namun, langit mendung menyelubungi kariernya setakat ini apabila Ramos bergelut dengan kecederaan yang dialaminya apabila beliau hanya mampu membuat lima penampilan bersama kelab gergasi Perancis itu dimana aksi sulungnya ialah pada November tahun lalu bertemu Saint-Etienne.

Selepas itu, episod kecederaan Ramos bagaikan bersilih ganti sehingga membuatkan peluangnya cukup terbatas untuk membuktikan kemampuan hebat yang pernah dijelmakan sewaktu menyarung jersi Real Madrid.

Kecederaan serius di bahagian betis dialami Sergio Ramos itu juga membuatkan Leonardo dan Ahli Lembaga Pengarah PSG yang lain berasa cukup kecewa dengan perkembangan tersebut.

Kredit Foto: PSG – Paris Saint-Germain

“Kami menandatanganinya dan dia berada dalam keadaan baik dari segi fizikal. Tetapi sehingga ke hari ini, dia hanya bermain sebanyak lima perlawanan.”

“Malang sekali, apa yang kami bayangkan mengenainya di kelab ini tidak menjadi seperti diharapkan. Ia merupakan waktu yang sukar buat dia, juga buat semua orang,” ujar Leonardo menurut sumber laporan Goal.

“Tidak beraksi menyukarkan dia untuk menjadi seorang ketua. Kami perlu menunggu untuk membuat kesimpulan mengenai perkara ini, musim ini masih lagi belum berakhir.”

“Tetapi saya tidak takut untuk mengambil tanggungjawab atas kesilapan yang saya lakukan [dalam membawa Sergio Ramos ke PSG].”

“Nasser [Al-Khelaifi] memberikan saya sepenuh kepercayaan. Ia memberikan saya autonomi [hak mengurus] sebenar dan atas sebab itu saya mengucapkan terima kasih kepada kelab,” tambah Leonardo lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia:

Liga Super 2022: Syafiq Ahmad Waspada Cabaran Sarawak United

Indonesia Jalani Kerjasama Dengan Jepun, Bawa Masuk Bekas Jurulatih Samurai Blue

Abramovich Sah Bakal Lepaskan Chelsea, Hasil Penjualan Akan Didermakan Kepada Mangsa Perang Di Ukraine

Sumber