Pemain sayap lincah yang pernah beraksi di Malaysia, Natanael Siringoringo kini sah bergelar pemain baharu buat pasukan PS Barito Putera.

Baca Juga:

Natanael memilih kelab yang kini berada di kedudukan ketujuh Liga 1 Indonesia itu sebagai destinasi seterusnya buat karier beliau selepas bergelar ejen bebas.

Keadaan tersebut berlaku berikutan kegagalan pasukan lamanya, Kelantan untuk melunaskan tunggakan gaji.

Malah, ejen yang mewakili beliau juga turut mengambil tindakan undang-undang ke atas kelab yang dimiliki Norizam Tukiman tersebut.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran Natanael ke Barito Putera dikongsikan menerusi pengumuman rasmi laman Instagram kelab tersebut.

Selain berpendapat Barito Putera merupakan antara kelab ternama di Indonesia, Natanael turut melihat hubungan baiknya bersama pengendali pasukan, Rahmad Darmawan menjadi sebab beliau memilih untuk bersama pasukan dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan itu.

“Saya sudah lama mengetahui tentang Barito ini dan saya turut tahu bahawa ini merupakan kelab yang besar di Indonesia.”

“Kemudiannya di sini juga hubungan kekeluargaannya sangat erat sekali hingga ya membuatkan saya menerima tawaran ini, tidak terkecuali disebabkan oleh ‘Coach’ RD [merujuk kepada Rahmad Darmawan].

“Ya, saya optimis untuk pasukan, mudah-mudahan saya dapat bekerjasama dan memberikan sumbangan berkesan buat pasukan serta membawa pasukan lebih lagi kehadapan.”

“Kalau boleh saya pastinya mahu membantu pasukan menjadi juara dan memberikan banyak sumbangan dengan baik. Saya pasti akan bekerja keras untuk mendapatkan banyak gol dan bantuan jaringan,” ujar Natanael menurut sumber laporan klikkalsel.com.

 

 

Sumber