Dua kelab futsal tanah air, Selangor MAC dan Pahang Rangers akan terbang ke Thailand bagi bagi merebut Piala Futsal Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2021 bermula 13 hingga 17 September nanti.
Turut sama menyertai saingan yang diadakan buat kali keenam itu ialah kelab gergasi Thailand iaitu Freefire Bluewave Chonburi dan Port FC serta Mohahang All Star FC dari Kemboja.
Sebagai rekod, lima edisi sebelum ini telah dimenangi oleh kelab dari Thailand dimana Port FC menjuarainya sebanyak tiga kali (2015, 2016 dan 2017).
Sementara itu, Bangkok BTS muncul juara pada tahun 2018 dan 2019 pula menjadi milik Freefire Bluewave Chonburi yang dahulunya dikenali sebagai PTT Bluewave Chonburi.
Meskipun di atas kertas seperti begitu sukar buat Selangor MAC dan Pahang Rangers untuk memecah dominasi Thailand tambahan pula sudah hampir dua tahun ketiadaan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), tetapi dengan barisan pemain yang dimiliki kedua-dua dilihat mampu untuk memberikan cabaran hebat pada saingan kali ini.
Selangor MAC yang merupakan juara MPFL 2019 kini mempertaruhkan pemain kebangsaan seperti Azrul Hadee Mohd Taufiq (penjaga gol), Azri Rahman dan Azwann Ismail.
Manakala seperti diketahui, Pahang Rangers kini boleh diibaratkan sebagai ‘JDT’ dalam sukan futsal tanah air apabila memiliki barisan mantap dengan membariskan pemain berpengalaman luas yang diketuai Khairul Effendy Bahrin, Awalluddin Mat Nawi, Saiful Nizam Mohd Ali, Abu Haniffa Hassan, Ridwan Bakri dan ramai lagi pemain berkualiti.
Kesemua perlawanan Piala Futsal AFF 2021 akan diadakan di Dewan Pusat Membeli-belah Terminal 21, Korat dengan format pertandingan dijalankan secara liga satu pusingan.
Sehubungan dengan itu, pasukan yang meraih mata tertinggi akan dipilih sebagai juara.
Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.
4 Perkara Ini Jadikan Thailand Antara Kuasa Besar Futsal Asia
Piala Dunia Futsal: Vietnam Hadapi Brazil, Thailand & Portugal ‘Berjodoh’