Ketua jurulatih Perak, Chong Yee Fatt menyimpan hajat besar apabila beliau mengharapkan sesuatu yang lebih positif dapat diraih dalam aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) esok meskipun sedar ia akan menjadi perlawanan yang cukup sukar.
Jurang antara kedudukan kedua-dua pasukan ini cukup besar menyaksikan Perak kini di tangga kedua tercorot berbanding JDT selaku pendahulu liga, namun Yee Fatt menyifatkan anak buahnya sedar tanggungjawab mereka untuk memberikan sehabis baik sepertimana yang dilakukan ketika menentang Kuala Lumpur tempoh hari.
Masih lagi gagal untuk mencari kemenangan selepas tiga perlawanan terdahulu, mahu atau tidak, Perak perlu lebih aggresif untuk mengutip mata agar dapat keluar daripada zon penyingkiran.
“Saya boleh katakan pemain-pemain dalam keadaan yang baik ketika ini dan kami sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan yang getir pada malam esok.”
“Semua tahu ia bukanlah perlawanan mudah jika berdepan JDT dan saya harap pasukan dapat memberikan pertarungan sengit untuk meraih sesuatu.”
“Kalau ikutkan, sebaik sahaja liga bersambung, memang prestasi kami bukanlah yang terbaik apabila tewas dengan Terengganu, tetapi seri dengan Kuala Lumpur sekurang-kurangnya beri sesuatu yang positif untuk pasukan”, katanya.
Selain perlu menghadapi cabaran sukar yang bakal diberikan skuad Harimau Selatan itu, Perak juga perlu lebih berhati-hati kerana rekod pertemuan terakhir di Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan skuad Yob tumbang 0-7 pada musim lalu.
Selain aksi antara Perak dan JDT, dua lagi perlawanan yang akan berlangsung esok membabitkan Kuala Lumpur City FC menentang Melaka United FC dan Penang FC berdepan Selangor FC.
Dua aksi pula berlangsung pada Ahad termasuklah Sri Pahang menentang PJ City FC manakala Terengganu FC akan menerima kunjungan Sabah FC.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Perak FC:
Chong Yee Fatt Tidak Tahu Punca Leandro Dan Careca Tinggalkan Perak
Liga Super 2021: Perak Tarik Nafas Lega, Terikat Bertemu KL City