Sarawak United FC menjadi antara pasukan yang paling menarik perhatian musim ini di saingan Liga Premier dengan kehadiran ramai pemain yang mempunyai nama besar dalam kancah Liga Malaysia seperti Norshahrul Idlan Talaha, Sandro da Silva, Taylor Regan dan Christie Jayaseelan.
Ditambah kehadiran B. Satiananthan selaku Pengarah Teknikal Sarawak United FC, nyata pasukan dari Bumi Kenyalang ini menampakkan kesungguhan yang begitu tinggi bagi memburu semula slot ke Liga Super pada musim 2022.
Hakikat itu dikongsikan pengendali Sarawak United FC, E. Elavarasan, yang melihat pasukan kali ini jauh berbeza dengan musim lalu dan beliau sendiri melahirkan keyakinan yang mereka mampu mencabar kejuaraan Liga Premier pada musim ini.
Namun, cabaran utama buat Elavarasan buat masa ini ialah membentuk keserasian sesama pemain dan memastikan semuanya bersedia sebaik sepak mula Liga Premier pada 6 Mac ini.
“Jika hendak dibandingkan dengan musim lalu, memang skuad ini lebih baik dan saya rasa kami boleh raih sesuatu pada musim ini dengan kehadiran pemain yang boleh beri kelainan kepada pasukan.
“Cuma saya tidak mahu situasi itu meletakkan kami terlalu yakin sehingga memandang rendah cabaran pasukan lain kerana masih banyak kerja perlu dilakukan dalam soal taktikal dan keserasian pemain.
“Saya harap pemain mampu berada di tahap bersedia sepenuhnya sebelum perlawanan bermula dan berdasarkan pengalaman yang ada pada kebanyakan pemain baharu diambil musim ini, saya jangka kami mampu lakukannya,” katanya.
🟥⬛ Sarawak United FC menjadi antara pasukan yang paling menarik perhatian musim ini di saingan Liga Premier dengan kehadiran ramai pemain yang mempunyai nama besar dalam kancah Liga Malaysia…
Klik untuk previu ⤵#LigaPremier2021
— Malaysian Football League (@MFL_MY) February 24, 2021
Dalam masa sama, Elavarasan menjelaskan beliau masih yakin dengan kemampuan penyerang berpengalaman, Norshahrul yang dianggap masih antara penggempur tempatan terbaik di kancah Liga Malaysia.
Jika Norshahrul mampu berada di kemuncak prestasi, Elavarasan berasakan pemain yang beraksi dengan kelab Thailand, BG Pathum United pada musim lalu itu mampu jadi penyumbang utama jaringan buat Sarawak United.
“Melihatkan dirinya, saya rasa dia masih ada lagi kemampuan untuk menjadi seorang pemain yang kita semua kenali dahulu dan Norshahrul akan jadi aset penting buat pasukan.
“Semua pemain perlu bersama membantunya selain mengharapkan dia juga kembali mendapat keyakinan, jika semuanya positif, saya rasa tidak ada masalah Norshahrul akan banyak berikan impak buat Sarawak United,” katanya.
Antara muka baharu yang turut menyertai Sarawak United ialah Lee Chang-hoon, Tommy Mawat Bada, Amer Saidin, K. Reuben, Khair Jones dan Gopi Rizqi.
Sarawak United FC akan membuka tirai saingan Liga Premier dengan berdepan Kelantan United FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 6 Mac ini.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Matlamat Dan Falsafah Kelab Jadi Faktor Utama Manuel Konrad Sertai Selangor FC
Chong Yee Fatt Calon Ganti Mehmet Durakovic Kendalikan Perak
Skuad Projek FAM-MSN Sedia Beri Saingan Sengit Dalam Liga Premier 2021