Pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan mana-mana rakan kongsi yang mahu mengutarakan aduan atau pendapat agar menggunakan saluran yang betul.
Meskipun tidak menyatakan mana-mana rakan kongsi, namun kenyataan yang dikeluarkan MFL dilihat ditujukan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais yang menggesa CEO MFL, Kevin Ramalingam untuk meletak jawatan.
Kevin Ramalingam Harus Letak Jawatan – Posa Majais https://t.co/JwhM3f03HZ
— VOCKET FC (@vocketfc) April 25, 2019
“MFL memiliki tanggungjawab terhadap hubungan kerjasama dengan 24 pasukan yang bertanding yang juga selaku rakan kongsi MFL.
“Justeru MFL mengambil pendekatan untuk tidak menjawab secara terus kepada mana-mana pihak yang membangkitkan apa-apa isu demi menjaga kepentingan rakan kongsi,” menurut kenyataan media yang dikeluarkan MFL semalam.
Tambah MFL, mereka sentiasa terbuka dengan sebarang cadangan atau pertanyaan namun ianya perlu dilakukan menerusi saluran yang betul.
“Jelas di sini MFL tidak berminat untuk menggalakkan perbuatan sebegini oleh mana-mana individu atau pasukan.
“Jika MFL memberikan respons maka individu atau pasukan tersebut memberikan reaksi secara tidak bertanggungjawab, ia sudah pasti akan memberikan kesan kepada imej bola sepak Malaysia secara keseluruhan,” jelas MFL.