Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern Munich, Karl-Heinz Rummenigge mengakui amat sukar untuk melihat bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland kekal beraksi dalam saingan Bundesliga.
Minat mendalam yang ditunjukkan kelab-kelab ternama Eropah seperti Chelsea dan Real Madrid untuk mendapatkan khidmat Haaland membuatkan Rummenigge berpendapat bahawa penyerang muda itu akan memilih untuk meninggalkan Jerman meskipun Bayern Munich juga turut mengintai peluang sama.
Menyertai Dortmund pada jendela perpindahan Januari musim 2019/20, Haaland tidak menunggu lama bagi membuktikan kehebatannya apabila beliau meledakkan 13 gol dalam 15 penampilan liga pada musim pertamanya.
Musim lalu pula menyaksikan beliau menjadi pemain ketiga terbanyak dalam kempen Bundesliga dengan 27 gol di belakang Robert Lewandowski dan Andre Silva.
Manakala, kempen 2021/22 juga bermula dengan cukup baik selepas Erling Haaland berjaya menjaringkan tiga gol dalam tiga penampilan setakat ini.
Jumlah jaringan yang telah dihasilkannya itu sudah cukup jelas untuk membuktikan pemain berusia 21 tahun kelahiran Leeds tersebut untuk bergelar antara peledak berbisa di dunia pada ketika ini.
“Dia akan menjelma sebagai salah seorang pemain yang cukup garang [di hadapan pintu gol] dalam saingan liga,” ujar Rummenigge menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Tetapi saya takut dia tidak akan terus kekal di Bundesliga. Jumlah gol yang dihasilkannya menunjukkan amat sukar untuk mengekalkannya di Jerman.”
“Saya merasakan masa depannya akan berada di luar negara,” tambah Rummenigge lagi.
Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.
Harry Kane Tetap Tenang, Mahu Teruskan Misi Bersama Tottenham
Perak Berjaya Selesaikan Beberapa Isu Berhubung Tuntutan Gaji
Demi Keselamatan, Pasukan Akur Aksi Piala Presiden & Piala Belia Dibatalkan