Rasa cinta jutawan Rusia, Roman Abramovich terhadap bola sepak nyata langsung tidak terhakis ekoran situasi sukar yang dihadapinya di England selepas beliau mengalihkan pula tumpuan untuk mendapatkan kelab dari Turki, Goztepe.
Goztepe merupakan kelab dalam saingan Liga Super Turki yang kini terperosok ke zon penyingkiran apabila menghuni tangga ke-18 selepas mengumpul 27 mata, ketinggalan dua mata di belakang Altay SK.
Menurut sumber laporan Fanatik Turkey, Abramovich sudah pun memulakan rundingan bersama pemilik kelab tersebut, Mehmet Sepil dan perbincangan selanjutnya secara bersemuka akan berjalan beberapa hari lagi untuk mencapai kata sepakat.
Abramovich telah berhubung dengan Sepil yang juga merupakan peminat setia Goztepe sejak dari kecil itu dengan bantuan seorang ahli perniagaan Turki.
Menguatkan lagi spekulasi tersebut, pemilik Chelsea yang terpaksa melepaskan kelab kesayangannya itu juga dikatakan berada di Turki selepas kapal mewahnya kelihatan sudah berlabuh di pelabuhan pusat peranginan Marmaris.
Sebelum ini, Sepil yang memegang saham majoriti Goztepe telah mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan kelab tersebut pada penghujung musim ini
Sekiranya semuanya menjadi kenyataan, mungkin kita dapat melihat Goztepe membangun sebagai kelab yang disegani seperti apa dilakukan Abramovich sepanjang 20 tahun memiliki Chelsea.
Abramovich menjadi tumpuan dunia berikutan konflik melibatkan Rusia dan Ukraine apabila kehilangan kelayakan untuk terus memiliki Chelsea kerana beliau disifatkan sebagai orang paling kanan buat Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Keputusan yang diambil kerajaan United Kingdom itu membuatkan Roman Abramovich terpaksa menjual semua kepentingannya dalam Chelsea dan tidak boleh menerima sebarang bayaran daripada penjualan tersebut.
Teruskan membaca artikel lain mengenai bola sepak seluruh dunia seperti dibawah.
Azizul Abidin Puji Usaha Keras Pemain Perlis United Tundukkan PDRM
Sekatan Dilonggarkan, Penyokong Chelsea Mulai Beli Tiket UCL
Abramovich Mahu Jual Chelsea Yang Berhutang £2 Billion Dengannya