RFEF serius mahu tinggalkan UEFA jika tindakan dikenakan ke atas presiden mereka.

Baca Juga:

Presiden RFEF, Luis Rubiales kini berdepan dengan hukuman daripada UEFA dan juga FIFA.

Ini selepas dia mendapat banyak kritikan kerana insiden mencium di mulut pemain wanita Sepanyol Mario Hermoso.

Mario Hermoso mengakui dia malu dilayan sebegitu oleh presiden RFEF itu. Namun Rubiales mempertahankan tindakannya.

Begitu juga RFEF yang berkata, presiden mereka mencium Hermoso bukan kerana dia seorang pencabul tetapi kerana terlalu gembira Sepanyol menang Piala Dunia Wanita 2023.

Ramai pemain wanita Sepanyol mengancam tidak mahu bermain lagi untuk negara itu jika Rubiales kekal menjadi presiden.

Dia bukan sahaja mencium Hermoso malah dilihat dengan bebas memegang dan mencium pipi pemain lain tanpa kerelaan mereka.

Mereka menegaskan bahawa, ada batas pergaulan yang harus dihormati oleh semua pihak. Rubiales telah melanggar batas itu.

Beberapa pemain skuad lelaki juga membuat kenyataan yang sama.

Alumni skuad legenda Sepanyol yang memenangi Euro dan Piala Dunia juga telah mengeluarkan kenyataan bersama mengecam tindakan Rubiales.

Selain itu, pemain yang berstatus bintang seperti David De Gea juga lantang mengkritik Rubiales. Dan mereka memberikan solidariti kepada Hermoso.

RFEF masih teguh berdiri di belakang Rubiales. Walaupun FIFA telah mengarahkan agar Rubiales digantung tugasan sementara dalam siasatan.

Akhbar Onde Cero melaporkan RFEF kini mengancam akan tinggalkan UEFA jika presiden mereka dihukum. RFEF mahu menarik diri daripada semua pertandingan di bawah UEFA.

RFEF turut menuduh Hermoso ada niat jahat dengan presiden mereka itu sehingga menjejaskan nama institusi itu secara keseluruhannya.

Rubiales antara presiden yang kerap terlibat dengan skandal dan tuduhan korupsi sejak dilantik menjadi presiden RFEF pada 2018.

Beberapa tahun lalu, pak ciknya sendiri pernah mendedahkan bahawa anak buahnya itu menggunakan dana RFEF untuk menganjurkan parti liar dengan pelacur bagi menjamu beberapa VIP bagi menguatkan pengaruhnya sebagai presiden.

Ketika itu pak ciknya, Juan Rubiales mahu mencabar jawatan presiden daripada anak saudaranya sendiri.

Rubiales sangat berpengaruh di kalangan ahli exco dan pegawai RFEF. Dia juga terlibat dalam kontroversi dengan penganjuran Piala Super Sepanyol di luar negara itu.

Dia membawa Piala Super itu ke bumi Arab Saudi atas alasan bagi tujuan promosi. Ramai membantah tindakan itu terutama sekali kelab yang terlibat dalam Piala Super Sepanyol. Mereka menganggap format baharu itu meletihkan dan terlalu jauh.

Rubiales disiasat kerana disyaki ada mendapat kepentingan daripada rundingan itu selepas dia memberikan tender kepada syarikat milik Gerard Pique untuk menganjurkan pertandingan tersebut.

RFEF sekali lagi teguh berdiri di belakangnya dan kes itu akhirnya hilang begitu sahaja.