Itali melangkah riang ke perlawanan akhir Euro 2020 apabila berjaya menundukkan Sepanyol 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit perlawanan separuh akhir di Stadium Wembley sebentar tadi terikat 1-1.

Kemaraan itu bermakna Itali bakal menikmati pentas final buat kali keempat selepas melakukannya pada tahun 1968, 2000 dan 2012 dimana satu-satunya kejuaraan Euro dimenangi negara tersebut adalah pada edisi 1968.

Kemenangan diraih Itali itu bagaimanapun tidaklah semudah yang disangka kerana Sepanyol jelas mendominasi perlawanan sebaik sahaja pengadil bertugas, Dr Felix Brych dari Jerman meniupkan wisel permulaan.

Sepanyol yang tampil lebih tersusun dengan corak hantaran pendek nyata membuatkan jentera tengah Itali berada dalam kesukaran sehingga membuatkan skuad kendalian Roberto Mancini itu gagal untuk menjelmakan aksi seperti empat perlawanan sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan Itali terpaksa bergantung harap kepada serangan balas pantas bagi mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Sepanyol yang diketuai Aymeric Laporte dan Eric Garcia.

La Roja hampir berada di hadapan pada minit ke-25 apabila Dani Olmo mendapat peluang dalam kawasan penalti tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma bagi menyelamatkan keadaan.

Ia merupakan satu-satunya percubaan tepat yang dapat dijelmakan pada separuh masa pertama walaupun Sepanyol turut mencipta beberapa peluang lagi namun tidak mendatangkan sebarang bahaya buat Itali.

Memasuki babak kedua, aksi lebih menarik ditampilkan kedua-dua pasukan yang meningkatkan tempo perlawanan dalam usaha memburu jaringan pendahuluan.

Ketua pasukan Sepanyol, Sergio Busquets mendapat peluang pada minit ke-52 tetapi rembatannya selepas menerima hantaran daripada Mikel Oryazabal hanya sedikit melewati palang gol.

Seminit kemudian, giliran Federico Chiesa pula memberikan ancaman selepas serangan balas dilakukan disudahkan dengan rembatan leret dalam kawasan penalti. Bagaimanapun, Unai Simon tidak berdepan masalah untuk menghalang percubaan tersebut.

Rembatan Oryazabal daripada luar kawasan penalti ketika perlawanan memasuki minit ke-58 juga mudah ditangkap kemas Donnarumma.

Jaringan yang dinantikan hadir pada minit ke-60 apabila berpunca daripada serangan balas pantas dilakukan Itali memberikan ruang buat Chiesa untuk melakukan percubaan  menarik yang hanya mampu dilihat Unai Simon.

Jaringan itu nyata menyemarakkan semangat juang barisan pemain Itali untuk menambah jaringan dan ia hampir direalisasikan pada minit ke-68.

Domenico Berardi yang menerima umpanan cantik Chiesa dalam kawasan penalti melakukan percubaan jarak dekat tetapi Unai tidak mahu gawangnya dibolosi sekali lagi.

Pemain gantian, Alvaro Morata muncul penyelamat buat Sepanyol apabila kombinasinya bersama Olmo membolehkan penyerang berusia 28 tahun itu menyudahkan peluang pada minit ke-80 untuk kembali menyamakan kedudukan.

Kedudukan terikat itu kekal hingga tamat permainan untuk aksi berlanjutan ke masa tambahan 30 minit dimana Sepanyol berterusan memberikan tekanan hebat buat Itali.

Berardi hampir memberikan jaringan kemenangan buat Itali pada minit ke-110, namun jaringannya dibatalkan selepas beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Usaha kedua-dua pasukan selepas itu bagi mendapatkan jaringan yang diharapkan masih belum mampu dilaksanakan memaksa pemenang ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Kegagalan dua pemain yang sebelum ini cemerlang buat Sepanyol, Olmo dan Morata menyempurnakan sepakan penalti mengesahkan kedudukan Itali ke perlawanan akhir bagi menanti pemenang antara England dan Denmark, pagi esok.

Sepakan penalti 

Itali

1) Manuel Locatelli  (X) – Ditepis Unai Simon

2) Andrea Belotti (/) – Gol

3) Leonardo Bonucci (/) – Gol

4) Federico Bernardeschi (/) – Gol

5) Jorginho (/) – Gol

Sepanyol

1) Dani Olmo (X) – Melewati palang gol

2) Gerard Moreno (/) – Gol

3) Thiago Alcantara (/) – Gol

4) Alvaro Morata (X) – Ditepis Gianluigi Donnarumma