Neymar Jr diumumkan sebagai pemain baharu Al Hilal yang menyaksikan dia akan menerima gaji sekitar €320 juta untuk dua musim di kelab itu atau sekitar RM1.62 billion tanpa sebarang cukai.

Baca Juga:

Neymar diumumkan secara rasmi oleh kelab itu menerusi media sosial mereka. Dan bakal diperkenalkan dalam majlis rasmi yang gilang gemilang hari ini – menurut laporan dari Arab Saudi.

Selain daripada menerima gaji €160 juta semusim, Neymar juga mendapat hak sepenuhnya ke atas imejnya. Bermakna Neymar boleh membuat duit terus masuk ke poket menerusi iklan dan tajaan peribadi.

Al Hilal sendiri membayar €500 ribu kepada Neymar sebagai bonus hak imej untuk menggunakan imej pemain itu dalam post di media sosial kelab. Gila bukan?

Bukan itu sahaja, Neymar juga akan menerima €85,000 untuk setiap kemenangan yang dicapai oleh Al Hilal dengan adanya dia bermain walaupun hanya seminit.

Pemain antarabangsa Brazil itu menyatakan hasratnya menyertai Al Hilal setelah mendapat tahu kelab dari Arab Saudi itu berminat mahu membelinya.

PSG yang terdesak mahu mengimbangi akaun FFP mereka setuju menerima bidaan sekitar €90 juta untuk Neymar.

Neymar menamatkan karier 6 musimnya bersama dengan PSG dengan membuat 173 penampilan dengan 118 gol dicatatkan dalam tempoh itu.

Kini Neymar memulakan cabaran baharu di Arab Saudi bersama dengan Al Hilal.

Neymar turut diberikan jet peribadi untuk kegunaannya di Arab Saudi serta rumah mewah.

Al Hilal sebelum ini sudah menandatangani pemain seperti Malcom, Kalidou Koulibaly, Ruben Neves dan Sergej Milinkovic Savic.

Beberapa lagi nama masih dalam radar kelab itu termasuk Mitrovic, Ayrton Lucas dan Marco Verratti.