Penyerang Manchester United, Marcus Rashford dianugerahkan Anggota Empayar Britain (MBE) oleh ratu Inggeris sempena ulangtahun ratu.

Marcus Rashford diberikan darjah kebesaran MBE sebagai menghargai perjuangannya untuk memastikan 1.3 juta kanak-kanak di Britain berhak mendapat baucar makan percuma pada cuti musim panas di tengah wabak koronavirus.

Senarai Anugerah Ulang Tahun Ratu adalah tradisi Komanwel di mana raja atau ratu Inggeris yang berkuasa memberikan pelbagai anugerah individu pada hari lahir mereka.

Anugerah ini diberikan secara berkala hampir setiap tahun sejak tahun 1860.

Satu pertiga daripada penghargaan dari Ratu England tahun ini diberikan kepada pahlawan di tengah wabak penyakit, termasuk penyerang Man United dan pasukan kebangsaan England.

Marcus Rashford berjuang untuk kanak kanak yang memerlukan di England untuk mendapatkan makanan percuma pada musim panas ketika sekolah-sekolah tidak beroperasi.

Rashford lantang bersuara dan mengecam cadangan oleh kerajaan Inggeris yang mahu menamatkan bantuan makanan itu.

Rashford menulis surat terbuka kepada parlimen. Dan dia berkongsi pengalamannya ketika menikmati baucar makanan tersebut ketika masih kecil – di mana ibunya merupakan ibu tunggal.

Bagi Rashford, untuk kanak kanak susah, baucar makanan itu adalah segalanya untuk mereka terus menikmati makanan berkhasiat dan secukupnya.

Tindakan Rashford itu membuatkannya dikecam beberapa ahli politik yang menganggap pemain Manchester United itu tidak tahu apa yang dibicarakannya.

Antara yang mengecam Rashford ialah Katie Hopkins yang merupakan figura umum di sana. Namun ramai yang berdiri di belakang Rashford dan menganggap perjuangan pemain muda itu wajar menjadikannya wira rakyat.

Malah kelab seteru Man United iaitu Liverpool dan Man City dengan terbuka menyatakan sokongan kepada pemain itu di atas usahanya.

kait

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melabel apa yang dilakukan Rashford sebagai luar biasa.

“Saya tak mampu nak menyatakan betapa hormatnya saya kepada apa yang dilakukan Marcus Rashford. Ianya sukar dipercayai.”

“Agak memalukan kerana dia harus melakukan perkara seperti itu, kerana benda seperti itu sepatutnya terjadi secara semulajadi.”

“Namun ada sesuatu harus dilakukan, dan dia menjalankan tugasnya dengan cara yang sangat luar biasa. Apa yang dia lakukan ketika lockdown sememangnya hebat sekali,” tegas Klopp.

Bintang Arsenal, Hector Bellerin antara yang memuji tindakan Rashford kerana menggunakan publisitinya dengan cara yang betul.

Bellerin menganggap Rashford adalah contoh terbaik, apa yang pemain bola sepak yang bergaji besar, memiliki pengaruh dan hidup senang mampu lakukan kepada dunia.

Oleh kerana surat terbukanya dibincangkan dengan meluas di media sosial dan mendapat perhatian dunia, Parlimen UK telah membuat pusingan U dan meneruskan bantuan makanan tersebut.

Hasilnya, 1.3 juta kanak-kanak di UK boleh menuntut baucar makanan percuma sepanjang musim cuti sekolah dengan kos sekitar £15 untuk seorang murid seminggu ditanggung kerajaan.

Rashford juga secara peribadi menghubungi syarikat dan kedai makanan di UK untuk membantunya dalam mengisi bank makanan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Secara peribadi, ini adalah saat yang indah bagi saya. Namun, saya masih menganggap ini hanya permulaan perjalanan yang ingin saya capai,” kata Rashford kepada BBC.

“Saya rasa apa yang ingin saya lakukan sekarang dalam kedudukan ini adalah bersemuka terus dengan perdana menteri dan meminta agar skim baucar diteruskan lagi hingga sekurang-kurangnya Oktober.”

“Saya rasa itulah yang diperlukan keluarga ini.”

“Ini adalah fokus utama saya setelah bercakap secara langsung dan mengetahui bahawa mereka akan sangat terpengaruh sekiranya mereka tidak memiliki baucar,” katanya lagi.

Rashford mengakui dia bebesar hati menerima anugerah tersebut dan berharap ia akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai mereka di luar sana untuk melakukan kebaikan.

The Most Excellent Order of the British Empire atau Darjah Yang Paling Cemerlang Empayar British adalah anugerah kesatriaan Great Britain ataupun England yang diasaskan oleh Raja George V pada 4 Jun 1917.

Anugerah kesatriaan ini terdiri dari lima kelas di dalam division awam dan ketenteraan ; di mana pangkat teratas seperti tersenarai di bawah adalah darjah tertinggi menurut turutan:

  • Knight or Dame Grand Cross (GBE)-Kesatria Utama
  • Knight or Dame Commander (KBE or DBE)-Panglima
  • Commander (CBE)-Johan
  • Officer (OBE)-Pegawai
  • Member (MBE)-Ahli

Syabas kepada Marcus Rashford!

Baca juga perkembangan lain

Lampard Tak Puas Hati Dan Masih Mahukan Pemain Selepas Berbelanja Lebih £200 Juta

Pogba Dengan Terbuka Akui Mahu Bermain Untuk Real Madrid

Cavani Akhirnya Buka Mulut Insiden Berebut Penalti Dengan Neymar