Kemunculan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan FC, Norizam Tukiman musim ini seolah-olah seperti fajar baharu yang sedang menyingsing buat peminat setia bola sepak Kelantan.
Setelah sekian lama terumbang-ambing dihimpit pelbagai masalah, musim 2021 mungkin akan jadi detik permulaaan kebangkitan semula bola sepak Kelantan di saingan Liga Malaysia.
Jurulatih dari Itali, Marco Ragini yang memiliki pengalaman luas mengendalikan beberapa kelab di Eropah bakal menjadi tunjang utama mengendalikan Kelantan FC yang akan dibarisi sebahagian besar bakat-bakat muda berumur 23 tahun ke bawah.
Hanya beberapa pemain seperti Che Mohd Safwan Hazman (pertahanan), Nurshamil Abd Ghani (penyerang) dan Faridzuean Kamaruddin (penjaga gol) yang merupakan antara tonggak senior tempatan selain akan dibantu empat tonggak import.
Tiga pemain dari benua Eropah iaitu Jack Hindle (England), Christos Intzidis (Greece) dan Mario Arques (Sepanyol) bakal menjadi kunci kestabilan Kelantan FC di setiap bahagian selain Natanael Siringo Ringo (Indonesia) akan menjadi aset penting di sayap kanan pasukan.
Ragini cukup gembira kerana pasukannya bakal terdiri daripada pemain muda kerana menyifatkan mereka mudah untuk menerima perkara baharu yang akan cuba diterapkan kepada pasukan.
Malah, beliau gembira dengan sasaran pasukan yang mensasarkan mahu layak ke Liga Super untuk musim 2024 kerana baginya situsi itu tidak akan memberikan tekanan kepada para pemain.
“Saya rasa ini satu perkara yang baik dapat bekerjasama dengan pemain muda kerana mereka ini cukup terbuka untuk menyerap ilmu baharu serta kaedah yang akan digunakan untuk melatih pasukan.
“CEO dan pengurusan ada sasaran, perancangan dan asas yang ingin dibina bersama kelab ini. Saya optimis sasaran yang diletakkan CEO itu mampu dicapai berdasarkan masa yang diberikan.
“Saya dan barisan kejurulatihan cukup teruja, begitu juga dengan bahagian teknikal yang akan sentiasa memastikan pasukan ini sentiasa berada di landasan yang betul pada sepanjang musim,” katanya.
Dalam masa sama, Ragini merasakan pasukannya ada elemen untuk mengejutkan pasukan-pasukan pilihan walaupun mereka tidak terdiri ramai pemain bintang seperti sesetengah pasukan
“Saya rasa apabila musim berjalan nanti, pasukan ini mampu mencatatkan keputusan yang baik serta mengejutkan pasukan-pasukan lain di Liga Premier.
“Berdasarkan apa yang kami sedang rancang buat masa ini, saya yakin mampu mengubah cara serta meningkatkan kualiti yang ada dalam kalangan pemain dalam pasukan ini serta akan cuba beri apa yang diinginkan oleh para penyokong sepanjang musim ini,” katanya.
Kelantan FC akan membuka tirai bertemu Perak FC II pada 6 Mac ini di Stadium Sultan Muhammad ke-IV pada jam 4.45 petang.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Lebih 5000 Helai Jersi Terengganu FC Telah Terjual, Jersi ‘Away’ Paling Laris
Solskjaer Kritik Pengadil & Frank Lampard: “2 Mata Kami Dirompak”
EPL: Pepe, Willian Cemerlang Bantu Arsenal Bangkit Benam Leicester