Tewas 3-4 menerusi sepakan penalti menyaksikan skuad muda Malaysia menamatkan kempen 4th International U-19 Football Thanh Nien Tournament 2022 di tempat kedua pada aksi final yang berlangsung sebentar tadi.
Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas aksi sebenar 90 minit perlawanan terikat 1-1.
Mendapat sokongan padu ribuan penyokong setia di Stadium Binh Duong, Vietnam tampil cukup tersusun dengan menguasai sebahagian besar permainan sejak wisel permulaan ditiupkan pengadil bertugas.
Nguyen Van Tu yang tidak dikawal pertahanan Malaysia dalam kawasan penalti menggamatkan stadium seawal minit ke-11 selepas hantaran lintang Khuat Van Khang ditanduk masuk bagi menewaskan penjaga gol, Aizat Aiman Mazlan untuk meletakkan tuan rumah dihadapan.
Anak buah Hassan Sazali Waras hampir menyamakan kedudukan berselang tiga minit kemudian tetapi tandukan bebas susulan situasi sepakan penjuru dilakukan Nazrin Nasir sekadar singgah di tepi jaring.
Ketika Vietnam sudah bersiap sedia untuk meraikan kejuaraan, Azhad Harraz Arman kembali menyamakan kedudukan ketika permainan memasuki minit ke-86.
Azhad mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang yang cukup baik dilakukan Rohisham Haiqal untuk mengheret perlawanan ke sepakan penalti.
Kegagalan Muhammad Abu Khalil dan Izrin Ibrahim dalam menyempurnakan sepakan memastikan kemenangan berpihak kepada tuan rumah.
Misi seterusnya buat skuad negara adalah dalam kempen Kelayakan Piala Asia B-20 2023 yang dijadualkan berlangsung pada bulan hadapan di Mongolia.
Sepakan penalti:
Vietnam
Khuat Van Khang (Gol)
Nguyen Duc Anh (Gol)
Nguyen Van Tu (Gol)
Nguyen Hong Phuc (Gol)
Nguyen Dang Duong (X)
Malaysia
Azhad Harraz Arman (Gol)
Adli Ahamad (Gol)
Muhammad Abu Khalil (X)
Danish Irfan Ezal (Gol)
Izrin Ibrahim (X)
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Undian Rasmi ‘Piala Dunia Asia Tenggara’ Berlangsung Pada 30 Ogos
Thailand Umum 3 Negara Yang Disahkan Menyertai King’s Cup 2022