Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan saingan Piala Supermokh 2019 yang berlangsung pada 13 hingga 23 Disember ini menjadi platform untuk memberi pendedahan serta memasarkan pemain muda tanah air.
Menurut Datuk Hamidin, Piala Supermokh dilihat mempunyai prestij yang tersendiri kerana berjaya menarik minat beberapa pasukan terkemuka di Asia untuk mengambil bahagian.
“Kejohanan ini dilihat sebagai platform terbaik kita bagi mencari serta memperkasakan lagi proses menggilap bakat muda untuk menjadi pemain negara tersohor masa depan,” katanya ketika melihat perlawanan separuh akhir B-14 tahun antara Malaysia Panthers menentang Hebei China Fortune semalam.
Sementara itu, Datuk Hamidin turut menyaksikan AMD Malaysia Cougars menewaskan PVF Vietnam 5-0 pada separuh akhir B-14 berasingan yang sekaligus bakal menyaksikan dua pasukan Malaysia akan berentap di final Sabtu ini.
Dalam pada itu, turut berlangsung perlawanan separuh akhir B-13 yang menyaksikan AMD Cougars menewaskan Fagiano Okayama 2-0 manakala Buriram United menewaskan SSTMI dengan keputusan 1-0.
Manakala bagi perlawanan B-12, NFDP Malaysia Cougars menewaskan Buriram United 2-0 dan NFDP Panthers menewaskan PVF Vietnam 1-0 sekaligus menyaksikan dua pasukan Malaysia turut akan bertemu di final.
“Berdasarkan pemantauan saya pada perlawanan hari ini, saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan pemain muda negara.
“Di usia muda begini mereka bermain dengan taktikal yang sangat baik serta paling utama mempamerkan semangat juang tinggi selaku bakal permata negara kelak,” katanya.
Piala SuperMokh diperkenalkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) di bawah Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) pada 2014 dan sejak itu kejohanan ini telah berjaya menarik perhatian peminat bola sepak negara untuk mengikuti perkembangan pelatih-pelatih AMD.
“Menerusi Piala SuperMokh, pelatih AMD berupaya meningkatkan keyakinan tinggi terutama ketika berhadapan dengan lawan dari negara luar,” katanya.
Baca artikel lain mengenai Datuk Hamidin Mohd Amin di sini:
Datuk Hamidin Cabar Skuad Harimau Malaya Mara Ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022