Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan hasrat negara-negara Asia Tenggara (Asean) untuk menganjurkan temasya Piala Dunia 2034 boleh dilaksanakan namun ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian.

Menurut Datuk Hamidin, peluang negara Asean untuk membida hak tuan rumah saingan Piala Dunia 2034 akan semakin cerah sekiranya mendapat sokongan dan bantuan sepenuhnya daripada pihak kerajaan pusat.

Datuk-Hamidin-Amin
Sumber Gambar: Kitajuara.my

“Bagi saya, ia mudah. Jika kita mahu menganjurkan Piala Dunia dengan beberapa negara, ini satu perkara yang baik jika melihat kepada ekonomi, tarikan pelancong namun kerajaan perlu memberi sokongan 100 peratus kepada kita.

“Kita memerlukan sokongan daripada segi infrastruktur, imigresen, kesihatan dan sebagainya. Ini bukan kepada kita saja namun kepada semua negara yang mahu melakukan bidaan.

“Kriteria Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) begitu ketat dan untuk itu, kita memerlukan sokongan kerajaan dalam semua perkara,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Prayut Chan o cha
Sumber Gambar: BH

Sebelum ini, lima negara ASEAN membangkitkan idea berkenaan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 pada Ahad lalu. Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha kemudiannya mengumumkan kesemua 10 negara anggota Asean mencapai kata sepakat untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Indonesia dan Thailand pernah membentuk kerjasama bagi membida hak tuan rumah Piala Dunia namun Thailand menarik diri atas sebab-sebab tertentu.