Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin cabar skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 untuk mendapatkan tiket automatik beraksi di Piala Asia 2023.

Dalam undian rasmi yang berlangsung di AFC House semalam, Malaysia berada dalam kumpulan G bersama UAE serta tiga negara ASEAN iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Justeru itu, Hamidin menuntut pasukan negara memanfaatkan peluang beraksi di halaman sendiri dengan mengutip tiga mata penuh.

Keputusan undian WCQ-01

“Saya berpendapat kalau semua pihak memberi komitmen dan sokongan padu, peluang kita berada di tahap lebih baik pada saingan kali ini akan tercapai,” katanya dalam Bernama

Hanya juara dan empat pasukan kedua terbaik daripada setiap lapan kumpulan layak secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 manakala pasukan yang tidak layak akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023.

Berdasarkan jadual undian, Malaysia akan beraksi empat perlawanan di tempat sendiri iaitu bertemu UAE pada 10 Sept, Thailand (14 Nov), Indonesia (19 Nov) dan Vietnam pada 31 Mac 2020.

Skuad kebangsaan akan menempuh empat perlawanan di tempat lawan, bermula dengan aksi menentang Indonesia pada 5 Sept, Vietnam (10 Okt), UAE (26 Mac 2020) dan Thailand pada 9 Jun 2020.

Hamidin, bagaimanapun, mengingatkan skuad kebangsaan supaya tidak mengambil mudah pertemuan dengan tiga negara ASEAN berkenaan walaupun pernah bertemu beberapa kali dalam saingan Piala AFF Suzuki, selain aksi persahabatan antarabangsa.

“Sekiranya kita gagal mendapat tempat kedua dalam kumpulan, kita akan diundi sekali lagi untuk pusingan kelayakan Piala Asia 2023 selepas ini, dan kemungkinan undian itu lebih sukar kerana kita bakal bertemu dengan pasukan seperti Uzbekistan, Syria dan Oman,” tegas Hamidin.

Sumber