Skuad hoki bawah 21 tahun Malaysia membuka tirai saingan Piala Sultan Johor 2023 dengan nota kekalahan selepas tunduk 2-3 ditangan New Zealand pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya malam tadi.

Baca Juga:

Berada di kedudukan lebih baik berbanding lawan jelas tidak memberikan sebarang kelebihan buat skuad kendalian Amin Rahim yang menghuni ranking kelapan dunia.

Ia jelas dibuktikan apabila tekanan diberikan lawan telah memberikan pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Luke Aldred pada minit keenam.

Kegembiraan New Zealand itu bagaimanapun hanya bertahan seminit selepas ketua pasukan Malaysia, Muhamad Faris Harizan pula menyudahkan dengan baik peluang daripada pukulan sudut penalti untuk menyamakan kedudukan.

Pukulan sudut penalti terus menjadi masalah buat negara setelah New Zealand menambah jaringan kedua pada minit ke-15 menerusi situasi tersebut meskipun penjaga gol negara, Mohamad Rafaizul sudah dapat membaca arah pukulan Scott Crosslett.

Kedudukan kembali terikat apabila Faris tidak berdepan masalah menolak masuk bola hasil pukulan penalti strok pada minit ke-24.

Jaringan kemenangan New Zealand hadir pada minit ke-33 selepas James Hickson yang tidak dikawal pertahanan Malaysia dengan tenang menolak masuk bola untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat skuad bimbingan Aaron Ford itu.

Malaysia yang berada dalam kumpulan B akan bertemu India pada aksi kedua malam ini manakala New Zealand pula berdepan Pakistan disebelah petang.