Juara Piala FA 2023, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke suku akhir Piala Malaysia 2023 dengan penuh bergaya apabila berpesta gol membelasah Kelantan 10-0 di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Gol Harimau Selatan dijaringkan oleh 3 pemain tempatan dan 4 pemain import dengan Bergson Da Silva mencipta hatrik manakala muka baharu, Takahiro Kunimoto turut meledak 2 jaringan.

Pesta gol JDT bermula pada minit ke 21 menerusi rembatan leret Bergson yang mudah menewaskan penjaga gol Kelantan diikuti dua jaringan Kunimoto pada minit ke 21 dan 37.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, Bergson sempat menambah satu lagi gol menjadikan kedudukan berubah kepada 4-0.

Bersambung separuh masa kedua, JDT terus garang menambah 4 gol dalam tempoh 11 minit masing-masing menerusi Juan Muniz (minit ke 53), Daryl Sham (minit 59), Heberty Fernandes (minit 61) dan Arif Aiman Hanapi (minit 64).

Bergson kemudian melengkapkan hatriknya pada minit ke 72 yang juga merupakan hatrik pertamanya dalam kempen Piala Malaysia musim ini sebelum pemain gantian, Ahmad Aysar Hadi menjaringkan gol ke 10 pada minit ke 90.

Kelantan cuba bangkit namun kualiti pemain muda mereka belum mampu menandingi JDT ditambah pula dengan ketiadaan 4 pemain import baharu yang sepatutnya menyertai pasukan tersebut.

Hasil kemenangan tersebut, JDT merekodkan 15-1 secara aggregat sekaligus bakal bertemu pemenang antara Negeri Sembilan dan Kelantan United di peringkat separuh akhir yang berlangsung pada bulan september nanti.