Ketua jurulatih sementara Penang FC, Manzoor Azwira, tekad mahu memulihkan semula maruah skuad Harimau Kumbang dengan menjadikan TM Piala Malaysia 2022 sebagai medan kebangkitan.
Baca Juga:
- Penang FC Tamatkan Kontrak Hilal El-Helwe
- Slot Kedua Piala AFC 2023 Diberikan Kepada Juara Piala Malaysia 2022
- Perubahan Jadual Piala Malaysia Bergantung Pada Pengumuman SPR
- Piala Malaysia 2022: MFL Umum Tiada Aksi Peringkat Kumpulan
Beliau mahu memastikan Penang dapat melayakkan diri ke suku akhir walaupun tidak memandang rendah akan kemampuan pencabar dari Liga Premier, Kuching City FC, yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti.
Tambahnya, peluang untuk semua pasukan mencipta sesuatu di pentas TM Piala Malaysia adalah sama rata kerana kejutan sentiasa terjadi berdasarkan format timbal balik kalah mati.
“Melihatkan perjalanan Penang yang suram musim ini di Liga Super, sememangnya ini bukan satu kelebihan kepada kami tetapi saya menyeru semangat pemain-pemain untuk bangkit.
“Inilah detik terbaik kepada pemain-pemain untuk tebus maruah Penang selepas apa yang terjadi di Liga Super, sekiranya kalau dapat layak sekurang-kurangnya ke suku akhir, saya rasa ini sesuatu yang sangat baik.
“Namun Kuching di bawah Irfan, pasti akan memberikan kesukaran kepada kami berdasarkan pengalaman luasnya di Liga Malaysia dan kami tidak boleh mengambil mudah cabaran mereka.
“Kami akan cuba dapatkan bekalan selesa sebelum bertandang ke Kuching dengan gunakan kelebihan beraksi di Stadium Bandaraya kerana sedar lawan sentiasa beraksi baik jika bermain di laman sendiri,” katanya kepada MFL.
Ketua jurulatih sementara @Penang_FC, Manzoor Azwira, tekad mahu memulihkan semula maruah skuad Harimau Kumbang dengan menjadikan TM Piala Malaysia 2022 sebagai medan kebangkitan.#TMPialaMalaysia2022
— Malaysian Football League (@MFL_MY) October 25, 2022
Manzoor mengambil tempat Zainal Abidin Hassan pada 12 Oktober lalu selepas bekas pengendali Selangor, Melaka United dan Pahang itu tidak mampu membawa Penang keluar dari kedudukan terakhir Liga Super berbekalkan hanya dua kemenangan sahaja dari 22 perlawanan.
Beliau berjaya membantu Penang meraih satu mata apabila seri 1-1 semasa bertemu Selangor FC pada perlawanan terakhir Liga Super pada 15 Oktober lalu.
Ini kali kedua Manzoor diberi peranan selaku ketua jurulatih sementara apabila pernah mengambil tempat Tomas Trucha pada 30 April sebelum Zainal diberikan tugasan selaku ketua jurulatih pada 1 Jun.
Dalam masa sama, Manzoor menegaskan penyerang Kuching City FC, Abu Kamara yang muncul penjaring terbanyak Liga Premier 2022 perlu diberi perhatian rapi oleh barisan pertahanan sambil menyifatkan pemain itu mempunyai sentuhan yang tajam di depan gawang.
“Bila dah muncul penjaring terbanyak liga, sudah pasti keyakinan seseorang pemain itu berada di tahap memuncak untuk kekalkan momentum dalam tiap perlawanan.
“Jadi, saya harap pertahanan dapat berikan perhatian istimewa kepada Kamara yang pasti memberikan banyak masalah kepada kami selain pemain-pemain lain.
“Mengenai cara permainan Penang, saya akan melakukan sedikit rombakan kerana setiap jurulatih ada falsafah masing-masing cuma masa amat singkat sebenarnya jika mahu mendapatkan hasil.
“Jadi saya harap pemain boleh berusaha serta pantas menyesuaikan diri dengan cara yang saya mahukan,” kataya.