Ketua jurulatih Melaka United, Mohd. Asri Ninggal menjangkakan aksi sukar bakal dilalui pasukan kendaliannya apabila diundi bertemu gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir Piala FA 2022.
Melaka bakal melayani kunjungan JDT di Stadium Hang Jebat pada 23 Julai nanti dan Sri Pahang serta Penang FC akan menanti sekiranya mereka berjaya melakar kejutan untuk layak ke peringkat separuh akhir.
Meskipun bakal menghadapi tugas sukar serta menganggap ia perkara yang tidak boleh dielakkan, Asri berharap kelebihan bermain di laman sendiri boleh berikan sedikit kelebihan buat anak buahnya nanti.
“Apabila sudah masuk di peringkat suku akhir, tidak boleh lagi memilih pasukan dan apabila diundi bertemu JDT, kami akan cuba beri yang termampu.”
“Kami pun baharu berjumpa mereka di tempat sendiri pada 2 Julai lepas dan harap itu sedikit sebanyak akan membantu pemain memahami corak permainan JDT.”
“Pemain kena bagi tumpuan yang tidak berbelah bahagi dari minit pertama hingga minit terakhir berdasarkan perlawanan yang dilalui tempoh hari,” ujar Asri Ninggal.
Pertembungan Melaka United FC dan JDT (juara edisi 2016) di Stadium Hang Jebat itu bakal menjadi antara perlawanan dijangka berlangsung dengan cukup menarik selepas kedua-dua pasukan tersebut terikat 1-1 dalam aksi yang begitu sengit pada pentas Liga Super, beberapa hari lalu.
Dalam perkembangan lain mengenai undian Piala FA sebentar tadi, pemenang pertemuan Terengganu FC/Kedah Darul Aman FC dengan Kuching City FC dan Sabah FC dengan Selangor FC/Kuala Lumpur City FC bakal bertemu di peringkat separuh akhir.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.
Dion Cools Tidak Tersenarai Dalam Skuad Pra Musim FC Midtjylland