2 penalti Salem Al-Dawsari berjaya menghantar Al-Hilal ke perlawanan final Piala Dunia Kelab.

Baca Juga:

Bintang Piala Dunia Arab Saudi itu menjadi perhatian dunia beberapa bulan lalu setelah cemerlang membantu negaranya mencipta kemenangan bersejarah ke atas juara dunia Argentina pada ketika itu.

Salem Al-Dawsari menjaringkan dua penalti ketika Al Hilal menewaskan Flamengo 3-2 pada hari Selasa untuk mara ke final Piala Dunia Kelab hujung minggu ini di Maghribi.

Sepakan penalti penalti pertama Al-Dawsari dibuat pada minit keempat selepas Luciano Vietto dikasari oleh pertahanan kanan Flamengo, Matheuzinho.

Penyerang Arab Saudi itu menjadi pemain pertama menjaringkan gol menentang lawan yang sama dalam dua edisi Piala Dunia Kelab selepas turut menjaringkan gol ketika menentang pasukan dari Brazil itu pada 2019.

Namun Flamengo kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-20 menerusi penyerang mereka, Pedro yang melakukan percubaan pertamanya.

Penalti kedua Al-Dawsari hadir pada minit kesembilan masa kecederaan separuh masa pertama.

Sekali lagi pemain yang memenangi penalti itu ialah Luciano Vietto. Selepas dia dijatuhkan bekas  pemain tengah Marseille, Gerson.

Gerson turut dilayangkan kad kuning kedua, menerima kad pertamanya pada 15 minit kerana simulasi dalam kotak penalti Al Hilal.

Berbaki 20 minit, Al Hilal menghampiri perlawanan akhir apabila pemain Argentina yang menjadi masalah besar kepada Flamengo, Vietto pula menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 3-1.

Pedro kemudian menghidupkan kembali perjuangan Flamengo dengan gol pada masa kecederaan minit ke-90+1.

Namun itu tidak mencukupi untuk menyelamatkan juara Copa Libertadores itu daripada tersingkir.

Al-Hilal mara ke perlawanan final Piala Dunia Kelab. Mereka akan menunggu lawan mereka daripada satu lagi aksi separuh akhir iaitu antara Real Madrid dan Al Ahly.

Jangan lupa untuk menyaksikan siaran langsung dan siaran ulangan Piala Dunia Kelab 2022 yang dibawakan secara langsung oleh TV9.