Bekas pemilik Inter Milan, Massimo Moratti menganggap Arab Saudi telah menjelmakan warna baharu buat kancah dunia bola sepak pada ketika ini.
Baca Juga:
- Kerajaan Arab Saudi Sediakan RM99 Bilion Pancing Neymar, Modric, Lewandowski
- Mbappe Lebih Rela Duduk Di Bangku Simpanan Daripada Sertai Kelab Arab Saudi
- Kelab Arab Saudi Mahukan Luis Diaz Pula
Keadaan itu juga disifatkan oleh Moratti sebagai mengerikan kerana memperlihatkan kesanggupan kelab-kelab tersebut berbelanja tanpa had untuk memastikan pemain-pemain terkenal menyertai kelab mereka.
Beliau juga melihat trend tersebut menjadi tamparan hebat buat bola sepak di Eropah yang sebelum ini jelas begitu unggul dengan sumber kewangan dan tarikan menarik.
Kini, tumpuan jelas beralih ke Arab Saudi selepas kelab-kelab di sana berbelanja besar membawa masuk nama besar untuk memperkuatkan pasukan.
Bermula dengan Cristiano Ronaldo yang menyertai Al Nassr pada musim lalu, ia dilihat merintis perjalanan lebih ramai bintang terkenal dunia untuk ‘merumput’ di tanah Arab.
Ia jelas dibuktikan dengan kehadiran pemain-pemain seperti Karim Benzema, Marcelo Brozovic, Kalidou Koulibaly, Sergej Milinkovic-Savic, Ruben Neves, Roberto Firmino dan N’Golo Kante.
“Ia sesuatu yang baharu dan juga sangat mengerikan kerana tidak boleh dibandingkan dengan kelab-kelab Eropah dalam hal membelanjakan wang membeli pemain.”
“Mereka menawarkan 10 kali ganda tawaran yang berhasil memuktamadkan setiap rundingan. Ternyata segalanya telah berubah dalam bola sepak,” ujar Moratti menurut laporan Goal Indonesia.
Selain nama-nama yang dinyatakan di atas, Jordan Henderson juga semakin hampir diumumkan sebagai pemain baharu Al Ettifaq untuk berada dibawah kendalian Steven Gerrard.
Malah, khidmat Kylian Mbappe dan Marco Veratti juga kini sedang diintai Al Hilal selepas mereka sebelum ini sudah mendapatkan Malcom, Neves, Milinkovic-Savic dan Koulibaly.