Vietnam terus cemerlang dalam kempen Piala Asia Futsal 2022 apabila menundukkan Arab Saudi 3-1 pada aksi kedua kumpulan D yang berlangsung di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait sebentar tadi.
Baca Juga:
- Piala Asia Futsal 2022: Thailand, Kuwait Sama Handal
- Piala Asia Futsal 2022: Iran Terlalu Unggul Buat Indonesia
- Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Ulangi Pencapaian 2016, Mara Ke Pusingan 16
Kemenangan kedua yang diraih meletakkan wakil Asia Tenggara itu di tangga teratas dengan enam mata, berkelebihan tiga mata meninggalkan Jepun dan Arab Saudi.
Ini bermakna dua slot ke suku akhir hanya akan diketahui pada perlawanan terakhir Ahad ini dimana Vietnam berdepan tugas sukar bertemu Jepun. Sementara itu, Arab Saudi pula akan menentang pasukan tangga terbawah, Korea Selatan.
Aksi Vietnam dan Arab Saudi bukan sahaja untuk mencari pendahulu kumpulan D, malah ia merupakan pertembungan hebat melibatkan dua jurulatih berkelas dunia.
Pengendali Vietnam, Diego Raul Giustozzi merupakan jurulatih yang bertanggungjawab membawa Argentina muncul juara Piala Dunia Futsal 2016. Manakala Andreu Plaza pula bergelar jurulatih terbaik dunia 2020 ketika membimbing Barcelona.
Arab Saudi yang melakar kejutan pada aksi sulung selepas berjaya menundukkan Jepun bermula dengan cukup baik apabila mendapat dua peluang untuk menjaringkan gol. Penjaga gol Vietnam, Ho Van Y bagaimanapun cemerlang dalam menafikan percubaan berbahaya dilakukan Farhan Ali Hal dan Abdulilah Alotaibi.
Tekanan itu tidak langsung dihiraukan pemain Vietnam untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-11 menerusi Nguyen Anh Duy.
Anh Duy yang menerima hantaran lintang daripada Chau Doan Phat tidak berdepan masalah untuk menolak masuk bola ketika penjaga gol Arab Saudi, Humood Aldahhan sudah sedikit terkeluar daripada posisinya.
Jaringan tersebut nyata menyemarakkan lagi api perjuangan skuad Vietnam untuk menambah jaringan. Namun, Aldahhan enggan gawangnya terus dibolosi apabila menyelamatkan percubaan dilakukan Doan Phat, Pham Duc Hoa dan Nguyen Thinh Phat.
Tindakan Aldahhan yang gemar keluar daripada posisinya untuk membantu rakan sepasukannya memburu jaringan jelas memakan diri pada minit ke-29.
Sedikit kesilapan yang dilakukan rakan sepasukannya di kawasan tengah gelanggang digunakan sepenuhnya oleh Doan Phat untuk melakukan percubaan lambung bagi menambah jaringan buat Vietnam.
Arab Saudi berupaya merapatkan defisit jaringan berselang seminit kemudian selepas hantaran lintang Aldahhan ketika taktikal ‘Power Play’ dimainkan membias terkena kaki Doan Phat lalu masuk ke gawang sendiri.
Ketika Arab Saudi terus memberikan tekanan bagi menyamakan kedudukan, Nguyen Minh Tri melakukan percubaan jarak jauh ketika pintu gol lawan sudah pun terbuka luas untuk mengesahkan kemenangan 3-1 buat Vietnam.